AKSI cemerlang Pandalela dan Jun Hoong mampu cabar ego penerjun China. -Foto fail
AKSI cemerlang Pandalela dan Jun Hoong mampu cabar ego penerjun China. -Foto fail
Aida  Adilah Mat


KECEMERLANGAN Cheong Jun Hoong dan Pandelela Rinong sepanjang Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA membuktikan kedua-duanya masih menjadi taruhan terbaik negara.  

Pingat emas yang diraih mereka dalam acara 10 meter platform seirama pada siri ketiga di Montreal, Kanada bulan lalu memberi sinar betapa penerjun negara sekali lagi mampu meruntuhkan keegoan jagoan dari Tembok Besar China.   

Bagaimanapun, itu bukan satu jaminan ketika China masih lagi menguasai sebahagian besar acara yang dipertandingkan.  

Namun, ia bukan satu misi mustahil kerana Jun Hoong pernah melakukannya apabila meraih emas di Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest, Hungary, tahun lalu.  

Persoalannya kini adakah Jun Hoong mampu untuk mempertahankan emas yang diraihnya dalam acara 10m platform individu apabila kembali beraksi di Piala Dunia di Wuhan, China dari 5 hingga 10 Jun ini ketika prestasinya dalam individu kurang menyerlah sepanjang siri terjun dunia itu berlangsung.  

Jun Hoong bagaimanapun enggan memberi sebarang komen ketika diminta mengulas mengenai sasarannya di Piala Dunia nanti.   

Begitupun katanya, satu emas, satu perak dan dua gangsa di Siri Dunia tidak mengecewakan.  

“Keseluruhannya ia tidaklah begitu teruk. Kami berjaya menamatkan saingan dengan pingat di semua siri terjun.  

“Satu perkembangan yang positif untuk kami berdua,” kata Jun Hoong.  

Pandelela turut menzahirkan perkara sama selepas berjaya mempamerkan aksi konsisten sepanjang siri terjun dunia berlangsung.  

“Saya bersyukur dan gembira kerana buat pertama kali kami berjaya meraih pingat di semua siri dunia,” katanya.   

Sementara itu, jurulatih terjun negara Zhang Yukun berkata, barisan penerjun akan kembali menjalani latihan di Guangzhou, China, untuk latihan dan seterusnya akan ke  Wuhan bagi menghadapi Piala Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 5:02 PM