PEMAIN Selangor, Mohd Daniel Iskandar (dua dari kanan) diasak pemain Perak.  FOTO/OWEE AH CHUN
PEMAIN Selangor, Mohd Daniel Iskandar (dua dari kanan) diasak pemain Perak. FOTO/OWEE AH CHUN
Saiful Affendy Sapran


PASUKAN lelaki Perak bermula langkah kanan apabila mencatat kemenangan 3-1 ke atas Selangor pada perlawanan pertama Kumpulan B, Kejohanan Hoki TNB-1MAS bawah 14 tahun, hari ini.

Bagaimanapun ketua jurulatih Perak, Mohd Azmi Yahya tetap tidak berpuas hati dengan kemenangan pertama itu, sebaliknya menuntut barisan pemainnya untuk lebih bekerja keras pada perlawanan seterusnya bertemu Johor esok.

“Saya perlu melihat setiap kelemahan berdasarkan kepada perlawanan hari ini.

“Ada beberapa perkara perlu diperbaiki terutama pada posisi serangan dan tengah,” katanya.

Jelas Azmi, beliau tidak mahu barisan pemainnya memberikan alasan lambat panas sebagai punca kepada kegagalan mereka untuk meraih kemenangan lebih meyakinkan.

“Saya harap apa yang akan saya tegur nanti akan dapat diperbaiki oleh barisan pemain saya untuk perlawanan esok,” katanya.

Perak di depan seawal minit ke-9 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Mohammad Haikal Azeem Rozainii.

Bagaimanapun Selangor berjaya menyamakan kedudukan seminit kemudian hasil gol padang Wan Amirul Rifqi Wan Amran.

Perak hanya kembali di depan m-46 selepas Aiman Safwan Abdullah menjaringkan gol padang sebelum Muhammad Yusuf Hakimi Shah Ahmad mengesahkan kemenangan Perak pada m-49, juga menerusi gol padang.

Sementara itu juara bertahan, Pahang tidak berdepan masalah untuk menewaskan Kelantan 4-1 pada perlawanan pertama Kumpulan A.

Keputusan hari ini

Kumpulan A

Pahang 4 Kelantan 1

Melaka 1 Pulau Pinang 3

Kumpulan B

Johor 3 Sarawak 0

Perak 3 Selangor 1

Kumpulan C

Kuala Lumpur 2 Terengganu 2

Sabah 1 Negeri Sembilan 0

Esok

Kumpulan B

Singapura mln Selangor, 7pg

Johor mln Perak, 8.30pg

Kumpulan C

Kedah mln Negeri Sembilan, 10pg

Kuala Lumpur mln Sabah, 4 ptg

Kumpulan A

Perlis mln Pulau Pinang, 5.30 ptg

Pahang mln Melaka, 7 ptg

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 10:38 PM