GELOMBANG United menjuarai Kejohanan Bola Sepak Pantai UiTM di Shah Alam.
GELOMBANG United menjuarai Kejohanan Bola Sepak Pantai UiTM di Shah Alam.
Ajitpal Singh

Kuala Terengganu: Pasukan Gelombang United menutup tirai musim ini dengan penuh bergaya apabila muncul juara Kejohanan Bola Sepak Pantai Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, Selangor kelmarin.

Gelombang United yang dibarisi rata-rata pemain bola sepak pantai kebangsaan muncul juara sulung anjuran UiTM sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, medal dan hamper.

Dalam aksi final, Gelombang United tidak berdepan masalah menewaskan pasukan senegeri, Kuala Kemaman dengan kemenangan 4-1.

Pasukan Kuala Kemaman yang menduduki tempat kedua membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 beserta medal manakala tempat ketiga bersama pasukan UiTM dan Kolej Komuniti yang masing-masing meraih RM500.

Hadiah kemenangan disampaikan oleh Pengarah Pusat Sukan UiTM Shah Alam, Mustaza Ahmad.

Sementara itu, Pengurus Pasukan Gelombang United, Yahya Mohd Nor berkata, pasukannya mempertaruhkan tujuh pemain yang mewakili Malaysia di kejohanan bola sepak pantai di China, baru-baru ini.

Beliau berkata, kemenangan ini hasil kesungguhan dan komitmen daripada pemain sekalipun hanya menjalani latihan selama seminggu sebelum kejohanan.

“Kami turun sebagai pasukan pilihan memadangkan dibarisi pemain negara diketuai ketua pasukan, Zaharim Yusof mudah mara ke pentas akhir.

“Kejohanan ini mungkin yang terakhir tahun ini memandangkan Majlis Daerah Port Dickson yang biasanya menganjurkan kejohanan setiap tahun tidak meneruskan pada kali ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 5:17 AM