SKUAD UiTM N9 muncul naib juara kejuaraan Divisyen 2 Liga Bolasepak Institut Pengajian Tinggi 2023/24. FOTO Ihsan UiTM N9
SKUAD UiTM N9 muncul naib juara kejuaraan Divisyen 2 Liga Bolasepak Institut Pengajian Tinggi 2023/24. FOTO Ihsan UiTM N9
Mohd Amin Jalil


Seremban: Meskipun sekadar muncul naib juara kejuaraan Divisyen 2 Liga Bolasepak Institut Pengajian Tinggi (LBSIPT) 2023/24, namun ia tetap suatu pencapaian terbaik buat UiTM Negeri Sembilan (UiTM N9).

UiTM N9 tewas kepada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Bawah 16 tahun (B-16), 0-2 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Azman Hashim, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor, kelmarin.

Ketua jurulatih UiTM N9, Mohamad Nassir Iman akur dengan kegagalan pasukan bimbingannya untuk menjulang kejuaraan itu.

Beliau menyifatkan persembahan AMD B-16 lebih hebat dan mereka memiliki skil permainan yang lebih baik meskipun dibarisi pemain belasan tahun.

Menurutnya, walaupun UiTM N9 gagal menjulang kejuaraan, tetapi sasaran yang diletakkan bagi musim ini, tercapai, malah pencapaian itu membolehkan pasukan bimbingannya layak beraksi dalam Divisyen 1 tahun hadapan.

"Tidak dinafikan memang ada rasa terkilan kerana kita tidak dapat menjulang kejuaraan, tapi mara ke pentas final dianggap suatu pencapaian membanggakan bagi pasukan ini kerana walaupun tewas tapi kami berjaya melayakkan diri ke Divisyen 1 musim hadapan.

"Dua pasukan dari Divisyen 2 yang beraksi di pentas final secara automatik layak beraksi dalam Divisyen 1, dan apa yang menggembirakan kami kalangan pegawai dan pemain ialah kejayaan ini dicapai selepas enam tahun mencuba," katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, skuad AMD B16 yang dibimbing Mohd Affandi Malek membuka jaringan menerusi Muhammad Airel Husainy Yusoff pada minit ke-25 sebelum gol masa kecederaan minit ke-93 oleh Muhammad Hakim Mohd Hassan untuk melengkapkan kemenangan 2-0 pasukan berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohamad Nassir berkata, pihaknya tetap berpuas hati dengan komitmen anak buahnya sepanjang tempoh perlawanan akhir dan saingan sebelum itu.

"Skuad AMD B16 terbukti lebih berwibawa sesuai dengan status mereka sebagai pemain pelapis untuk bola sepak negara masa hadapan.

"Pemain saya terpaksa akur dengan kualiti persembahan AMD B-16, walaupun mereka kalangan belasan tahun, tapi kami dapat menimba pengalaman berharga daripada pertembungan itu dalam usaha meningkatkan lagi prestasi dan membina kekuatan pasukan masa hadapan.

"Saya tetap bangga dengan komitmen pemain dan pencapaian ini kerana apa yang penting ialah impian untuk layak ke Divisyen 1 tahun hadapan tercapai," katanya yang memaklumkan hampir 90 peratus pemain musim ini berpeluang kekal dalam pasukan itu bagi persiapan menghadapi kempen musim hadapan.

Susulan kemenangan itu, AMD B-16 membawa pulang hadiah RM7,000, piala pusingan, piala iringan dan medal manakala UiTM N9 menerima RM5,000 serta medal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2023 @ 3:18 PM