PEI Jing (kiri) tak sabar tunggu aksi Seluruh England.
PEI Jing (kiri) tak sabar tunggu aksi Seluruh England.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Terkandas pada separuh akhir Terbuka Jerman selepas tumpas kepada pilihan utama Lu Kai-Huang Yaqiong dari China langsung tidak melemahkan semangat pemain beregu campuran negara Lai Pei Jing menjelang aksi Seluruh England minggu ini.

Dia yang berpasangan dengan Tan Kian Meng mengakui mereka tetap bersemangat terutama selepas berjaya memberi tentangan sengit kepada Lu Kai-Yaqiong sebelum tumpas 21-16, 16-21, 17-21.

“Perlawanan ini (kelmarin) memang sangat sengit dan ia permainan terbaik kami selepas muncul juara Masters Malaysia di Sibu Januari lalu. Akhir sekali kami berjaya menemui rentak cemerlang selepas kemenangan di pusingan pertama dan kedua lebih kepada nasib,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Pemain dari Kuantan itu mengakui mereka sangat beruntung kerana memperoleh kembali rentak terbaik sebelum Seluruh England bermula dan berharap ia dapat dikekalkan di kejohanan bertaraf Siri Super itu.

“Sebenarnya dalam beberapa aksi sebelum ini kami bermain dengan kurang bagus dan mengambil kesempatan di atas kelemahan pemain lawan saja,” kata Pei Jing.

Ditanya sama ada beraksi dua kejohanan berturut-turut memberi kelebihan atau memenatkan, Pei Jing mengakui ia terpulang kepada pemain itu sendiri kerana bergantung kepada tahap kecergasan.

“Bagi Seluruh England ini saya tidak banyak memikirkan mengenai peluang kami. Apa yang harus kami lakukan ialah fokus dalam setiap pusingan dan memberi aksi terbaik, walaupun ini adalah penampilan sulung Kian Meng di kejohanan berkenaan,” katanya.

Kian Meng-Pei Jing yang akan memulakan aksi Seluruh England bertemu Tan Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong diletakkan harapan oleh jurulatih Chin Eei Hui untuk sekurang-kurangnya mara ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2017 @ 8:49 AM