Hamilton lebih suka logo lama. FOTO AFP
Hamilton lebih suka logo lama. FOTO AFP
Daily Mail

JUARA dunia Lewis Hamilton mengkritik logo baru Formula Satu (F1) dilancarkan selepas perlumbaan penutup tirai pada Grand Prix Abu Dhabi.

Rekabentuk ubahsuai semula mahal dilakukan Liberty Media, pemilik baru sukan itu dari Amerika Syarikat untuk menggantikan logo lama diperkenalkan bekas supremo F1 Bernie Ecclestone sejak 23 tahun lalu.

Liberty terbabit dalam urusan pengambilalihan F1 pada nilai £6.4 bilion (RM35 bilion) pada Januari lalu.

Mereka berharap reka bantuk baru itu menjadikan F1 lebih menarik dan mampu memikat audien baru.

Bagaimanapun sebaik ia digunakan di atas podium penamat di sirkit Yas Marina circuit, Hamilton mempersoalkan keperluan mengubah logo terbabit.

“Logo lama sangat ikonik dan baru ini tidak,” kata Hamilton, 32, selepas menamatkan saingan di tempat kedua di belakang pemenang dan rakan sepasukan Mercedes, Valtteri Bottas pada pusingan terakhir kempen menyaksikannya menjulang gelaran dunia kali keempat.

“Bayangkan jika Ferrari menukar logo mereka.”

Malah Bottas dan pemandu Ferrari Sebastian Vettel turut mempertikaikan idea bijaksana di sebalik penjenamaan semula dengan kedua duanya menegaskan mereka lebih suka reka bentuk yang lama.

Bos Mercedes Toto Wolff hanya memberikan sepatah kata ketika memberi reaksi mengenai perasaanya terhadap penggunaan logo itu.

Wolff dari Austria berkata ‘mengejutkan’ - dalam nada sinis.

Pada masa sama, peminat di media sosial turut melahirkan rasa kurang selesa mereka.

Menjelaskan keperluan logo baru itu, bos komersil F1, Sean Bratches berkata: “Identiti jenama baru kami adalah simbol perubahan Formula Satu ketika kami juga meletak sasaran meluaskan tarikan terhadap sukan itu, mencari audien baru dan membina hubungan kukuh dengan peminat sedia ada.

“Kami bersedia mencipta logo menggambarkan kelajuan dan keseronokan kemuncak permotoran itu dan cara ini adalah petanda ke arah era baru F1”.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 4:36 PM