KUMAR (kiri) difahamkan mengambil minuman teh pelangsing.
KUMAR (kiri) difahamkan mengambil minuman teh pelangsing.
Naqib Nor Said dan Jumiaty Rosli


KEGAGALAN penjaga gol hoki nombor satu negara, S Kumar dalam ujian doping pada kejohanan Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, Oktober lalu dipercayai berpunca daripada pengambilan teh pelangsing badan.

Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi bagaimanapun menegaskan ia bukanlah suplemen yang dibekalkan pihaknya, sebaliknya mungkin diambil atas inisiatif penjaga gol itu sendiri.

“Daripada maklumat yang diterima, saya difahamkan dia (Kumar) mengambil minuman teh pelangsing. Tetapi sama ada betul atau tidak ia belum dapat dipastikan,” katanya dalam satu pertemuan di sini, sebentar tadi.

Ditanya sama ada wujud kemungkinan bahan terlarang itu berada dalam suplemen yang dibekalkan ISN tanpa disedari, Abdul Azim pantas menafikannya.

“Ia tidak benar, sibutramine ini bukan dalam suplemen saja. Anda perlu tahu yang ia juga banyak digunakan dalam teh pelangsing dan benda ini bukan di bawah kawalan kami.

“Dalam kes atlet wushu, Tai Cheau Xuen yang didapati positif doping jenis sibutramine pada Sukan Asia 2014, ia berpunca daripada alat solekan yang dipakainya.”

Semalam, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengumumkan Kumar, 38, didapati positif ujian doping yang dilakukan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) semasa aksi terakhir kumpulan Piala Asia 2017 ketika bertemu Oman, 16 Oktober lalu.

Namun, apa yang menghairankan anak jati Tampin, Negeri Sembilan itu mengakui hanya mengambil 100 peratus suplemen yang dibekalkan ISN.

Susulan keputusan itu menyaksikan namanya kini tersisih sepenuhnya daripada latihan hoki di bawah pemantauan Program Podium bermula 1 Januari depan.

Begitupun, Azim memberi jaminan pihaknya terbuka untuk menerima semula kehadiran Kumar pada masa depan sambil menyerahkan kepada MHC sama ada untuk menamakan penggantinya.

“Saya harap Kumar dapat banyak bersabar. Walaupun terpaksa diketepikan daripada Program Podium tetapi tidak bermakna kita tidak akan terimanya semula.

“Sekarang ini terpulang pada MHC, katakan mereka tidak namakan pengganti dan Kumar didapati tidak bersalah, dia boleh terus diserap ke Sukan Komanwel 2018, April depan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 8:31 PM