MOHD Aiman (kiri) bersama pelumba lain yang akan menyertai HMMTBGP di Sungai Buaya, 2 Disember ini.
MOHD Aiman (kiri) bersama pelumba lain yang akan menyertai HMMTBGP di Sungai Buaya, 2 Disember ini.
Amrullah Abdul Karim

Bukit Beruntung: Harian Metro (HM) Mountain Bike Grand Prix 2017 (HMMTBGP) akan menjadi medan menguji kemampuan serta ketangkasan pelumba dari pasukan Kolej Komuniti Hulu Selangor (KKHS) Tigers.

Ketua pasukan KKHS Tigers, Badarul Halim Bakri, 42, berkata, mereka akan menghantar tiga pelumba dalam kejuaraan siri ketiga HMMTBGP yang berlangsung di Sungai Buaya pada 2 Disember ini.

Menurutnya, salah seorang pelumbanya, Mohd Aiman Hasri, 20, diletakkan sebagai harapan dalam senarai 20 pelumba terbaik dalam perlumbaan itu dan dijadikan kayu pengukur bagi melayakkannya mewakili Majlis Sukan Kolej Komuniti (MASKOM) ke Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIT) pada Februari 2018.

“Kami jadikan perlumbaan HMMTBGP ini sebagai antara medan penentu kekuatannya untuk ke SUKIT tahun depan.

“Selain Mohd Aiman, KKHS Tigers akan bergabung dengan pelumba dari Kuala Langat untuk pertarungan itu nanti,” katanya.

Badarul Halim berkata, KKHS Tigers akan memastikan jentera yang digunakan untuk perlumbaan itu berada dalam keadaan baik.

Namun, katanya pelumbanya masih memerlukan kemudahan lain bagi melengkapkan diri sebelum berlumba.

“Dari segi stamina, fizikal dan mental pelumba sudah bersedia sepanjang masa.

“Malah KKHS Tigers sering mengadakan latihan mingguan di trek Batang Kali dan trek Tanjung Malim yang dianggap ekstrem dengan 60 peratus laluan mendaki bukit membabitkan laluan sepanjang 37 kilometer,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 4:06 AM