SATHIANATHAN (tengah) harap keputusan dibuat FMLLP akan menyebelahi FELDA United. -Foto fail
SATHIANATHAN (tengah) harap keputusan dibuat FMLLP akan menyebelahi FELDA United. -Foto fail
Zulfaizan Mansor


KETUA jurulatih FELDA United FC, B Sathianathan mengakui bimbang mengenai kedudukan pasukannya dalam Liga Super musim depan.

Ia susulan Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) dijangka memutuskan kedudukan skuad FELDA United pada mesyuarat esok selepas The Fighters gagal mendapat lesen untuk beraksi di Liga Super.

Sathianathan bagaimanapun tetap berharap badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu akan membuat keputusan yang terbaik dan memberi peluang kepada FELDA United untuk terus kekal bersaing dalam liga nombor satu negara itu.

“Saya sebagai jurulatih sudah pasti bimbang dan berharap keputusan (mesyuarat) memihak kepada kami.

“Mungkin kami salah kerana gagal dapatkan lesen dan pada masa sama saya harap FMLLP akan memberi peluang beraksi dalam Liga Super dan memperbaiki segala kelemahan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam dilaporkan berkata, pihaknya mungkin memberikan FELDA United lesen sementara untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim depan tetapi masih bergantung kepada kelulusan ahli lembaga.

Satu lagi isu yang turut akan dibincangkan mesyuarat lembaga pengarah FMLLP esok adalah mengenai permohonan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk menurunkan T-Team atau yang kini dikenali sebagai Terengganu FC II (TFC II) beraksi di Liga Perdana selepas melakukan penstrukturan semula.

Jika permohonan PBSNT itu diluluskan, FMLLP akan membuat keputusan pasukan mana yang akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan TFC II dalam Liga Super.

Sementara itu, Setiausaha Agung FELDA United, Zulkarnain Muhammad ketika dihubungi hari ini enggan mengulas lanjut mengenai isu berkenaan dan lebih selesa mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 7:55 PM