CHANTURU (kiri) dan Gopinathan perkasa MU.
CHANTURU (kiri) dan Gopinathan perkasa MU.
Ajitpal Singh


BEKAS pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), S Chanturu dan R Gopinathan menyertai skuad Liga Super Melaka United dan penyertaan mereka akan diumumkan secara rasmi esok.

Ketua jurulatih Melaka, Eduardo Almeida berkata, kehadiran kedua-dua pemain itu akan memperkukuhkan kekuatan pasukannya untuk tampil lebih kukuh musim depan.

Skuad Melaka hanya mengekalkan sembilan pemain, Fazli Paat (penjaga gol), Faizal Muhammad, Nicholas Swirad, Khair Jones (pertahanan), R Surendran, G Puaneswaran, S Sivanesan, Jeon Woo Young (tengah) dan penyerang, Fauzi Roslan.

Muka baharu lain yang ditandatangani Melaka adalah penjaga gol Zamir Selamat, Azmi Muslim, Shazlan Alias, Azrul Ahmad dan Farderin Kadir.

Selain itu, Norshamil Abdul Ghani yang bersama Selangor musim lalu kembali memperkuatkan Melaka, bersama Akmal Ishak yang sebelum ini dipinjamkan ke pasukan Liga FAM, PJ Rangers.

Penjaring terbanyak musim lalu, Mohammed Ghaddar juga dijangka akan menyertai pasukan selepas JDT bersedia untuk melepaskan pemain itu.

“Rundingan bersama Ghaddar masih lagi berjalan. Seorang pertahanan dari Perancis dan pemain tengah dari Portugal juga ada menandatangani prakontrak namun belum ada sebarang keputusan rasmi dibuat,” kata Almeida.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 10:02 PM