KHAIRY harap penyokong beri masa untuk skuad kebangsaan dan FAM. -Foto oleh Naim Mahamud / www.asiana.my
KHAIRY harap penyokong beri masa untuk skuad kebangsaan dan FAM. -Foto oleh Naim Mahamud / www.asiana.my
Fahmy Azril Rosli


MENTERI Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengingatkan mana-mana pihak tidak cepat menghukum atau mengkritik kekalahan tujuh kali berturut-turut skuad Harimau Malaya.

Beliau berkata, pihak berkenaan sepatutnya melihat kekalahan anak buah Nelo Vingada secara menyeluruh.

Ini kerana, katanya, prestasi skuad kebangsaan ketika ini adalah cerminan struktur pengurusan dan pentadbiran bola sepak sebelum ini.

Justeru, Khairy mahu semua pihak memberi ruang secukupnya kepada pengendali baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu memperbaiki prestasi pasukan bola sepak negara.

“Kita kena lihat prestasi pasukan kebangsaan dalam konteks lebih menyeluruh, jangan mudah untuk beri kecaman, prestasi mencerminkan struktur bola sepak sedia ada yang memerlukan masa untuk baiki.

“Memang pasukan senior yang dihantui struktur yang bertahun-tahun, bukan mereka tidak bagus tapi mereka mencerminkan struktur pengurusan tempoh itu (lama).

“Saya faham bila kita kalah ramai kecam dan kritik, tapi ini projek jangka panjang dan perlu ada semangat nasional untuk beri sokongan. Jangan tahun ini kurang berjaya, maka terus hukum sebab pasukan bola sepak negara banyak kejayaan bawah umur ada sinar di hujung terowong sukan bola sepak negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi dialog TN50X di Menara Felda, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata beliau cukup yakin dengan perancangan masa panjang menerusi pembangunan peringkat akar umbi oleh FAM.

Katanya, dengan memberi masa, apa yang dilakukan pengurusan baharu FAM bakal mengubah prestasi pasukan pada masa akan datang.

“Dari segi pembangunan bola sepak hari ini, prestasi kejayaan yang dicatat oleh pasukan bawah umur 15, 18

dan 23 tahun lebih cerah.

“FAM sedang usahakan sistem yang lebih tersusun supaya lebih ramai lagi peringkat akar umbi main dalam liga dengan lebih tersusun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 8:51 PM