Khairy bersama sebahagian peserta sesi dialog TN50 di Penampang, semalam.
Khairy bersama sebahagian peserta sesi dialog TN50 di Penampang, semalam.
Razik Zayat


Penampang: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedaya upaya merealisasikan impian pasukan bola sepak negara untuk beraksi di kejohanan Piala Dunia menerusi pembangunan akar umbi tersusun yang sudah dijalankan empat tahun lalu.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, rakyat Malaysia diminta bersabar untuk melihat hasil pembangunan berkenaan dan pihaknya tetap optimis impian itu mampu tercapai satu hari nanti.

Beliau berkata, semua pihak harus memberi peluang kepada kementeriannya dan barisan pimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baru mengambil alih pentadbiran pada Mac lalu.

“Ini akan mengambil sedikit masa kerana sistem pembangunan akar umbi tersusun yang baru saja dimulakan empat tahun lalu di bawah pembangunan bola sepak negara serta kepimpinan FAM baru saja diambil alih.

“Jadi kita kena sabar dan tunggu generasi yang baru dibangunkan dengan sistem serta pendekatan baru ini sampai ke peringkat dewasa untuk kita melihat lonjakan daripada sudut prestasi Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya pada sidang media selepas meluangkan masa hampir dua jam pada dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Dewan Tapak Warisan Monsopiad, dekat sini, semalam.

Terdahulu, Khairy pada ucapannya turut menyentuh mengenai aspirasinya untuk membawa skuad bola sepak kebangsaan layak ke Piala Dunia dan diakui antara misi yang sukar dalam TN50.

“Saya rasa misi ke Piala Dunia paling susah dalam TN50, saya rasa kereta terbang lebih mudah tetapi kita akan cuba yang terbaik.

“Kalau dulu berbanding Jepun, kita lebih hebat tapi sekarang mereka setiap, kali Piala Dunia akan layak,” katanya.

Mengulas mengenai Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP), Khairy berkata, pihaknya akan mempertimbangkan perancangan membuka lebih banyak pusat di Sabah untuk membangunkan bola sepak di negeri ini.

“Untuk tahun depan, saya harap kita (kementerian) akan buka lebih banyak pusat di Sabah dan memang perancangan kita untuk membuka satu akademi tunas, pusat latihan daerah bagi setiap sekolah rendah, sekolah menengah di daerah atau kawasan parlimen.

“Itu matlamat akhir kita, jadi ia akan berlaku secara berkala dan tahun depan saya akan pastikan beberapa pusat itu akan dibuka di Sabah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2017 @ 11:12 AM