Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar
Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak pernah berdiam diri atau 'membekukan' program pembangunan akar umbi dalam usaha melahirkan pemain berkualiti untuk mewakili negara.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, program akar umbi sentiasa dipertingkatkan seperti termaktub dalam Peta Hala Tuju atau F:30 yang dilancarkan pada 2018 dengan menjadikan badan induk negara antara lima negara yang terbaik di Asia dari segi tadbir urus menjelang 2030.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memandang serius program pembangunan akar umbi seperti yang disarankan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan berusaha merealisasikan impian semua pihak untuk melihat Malaysia sebagai sebuah negara kuasa bola sepak di rantau Asia.

"Kita tidak lari daripada F:30 itu dan mungkin pasukan kebangsaan akan mencapai sasaran seperti Vietnam pada 2030 seperti yang direncanakan dalam program itu.

"Mungkin sasaran itu akan dapat dicapai lebih cepat lagi seperti Jepun yang meletakkan visi kejayaan bola sepak mereka dalam tempoh 100 tahun namun berjaya merealisasikannya dalam 30 tahun saja.

"Program F:30 tidak pernah dimansuhkan atau disimpan seperti yang diperkatakan pihak tertentu. Dari semasa ke semasa FAM akan mengumumkan perkembangan elemen-elemen dalam F:30 mengikut peratusan. Apa yang direncanakan berjalan seperti biasa cuma perlahan sejak kebelakangan ini kerana pandemik Covid-19," katanya.

Arena Metro melaporkan semalam Perdana Menteri mahu pengurusan bola sepak di negara ini mengikuti 'cara kerja' pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Vietnam dalam usaha memastikan pasukan kebangsaan mencapai kejayaan gemilang.

Beliau yang juga peminat Chelsea berkata, pasukan EPL itu cukup terkenal memiliki ekosistem bola sepak sistematik terutama dari aspek pembangunan akar umbi hingga mereka mampu mencapai kejayaan.

Selain itu, Ismail Sabri berkata Malaysia juga mampu melahirkan pemain yang bagus dan berbakat besar jika berjaya memperhebatkan program pembangunan seperti akademi yang bermula daripada daerah dan seterusnya negeri.

Selain itu, Mohd Saifuddin berkata iltizam FAM membudayakan bola sepak di peringkat akar umbi tergambar menerusi penganjuran Liga Suparimau bagi pemain berusia 6 hingga 16 tahun di 12 venue di lima negeri bermula tahun ini, dengan maklumatnya mudah didapati di laman web dan aplikasi yang boleh dimuat turun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 5:20 PM