FERRIS (kanan) mahu berehat bersama keluarga seketika.
FERRIS (kanan) mahu berehat bersama keluarga seketika.
Malik Muhamad


BEKAS penyerang Terengganu, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir menafikan mahu bersara, sebaliknya menyatakan dia belum memikirkan mengenai pasukan baru musim depan.

Bagaimanapun, pemain berusia 25 tahun itu sedia menyarung jersi skuad negeri kelahirannya, Kelantan jika mendapat tawaran daripada pasukan itu.

“Sebenarnya saya mahu berehat bersama keluarga dulu dan bukannya mahu bersara dalam sukan bola sepak ini. Selepas ini barulah saya memikirkan soal tawaran daripada pasukan lain yang berminat untuk mendapatkan khidmat saya,” katanya.

Awal bulan ini, penyerang yang pernah beraksi bersama skuad FELDA United dan Melaka United itu gagal memikat jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim untuk dikekalkan bersama skuad itu musim depan.

Pemain yang mula mencipta nama bersama pasukan Harimau Muda A itu hanya semusim bersama skuad Terengganu sebelum digugurkan bersama tiga pemain import dan beberapa pemain tempatan.

Ketika ditanya mengenai pasukan yang bakal diwakilinya musim depan, Ferris mengakui setakat ini belum ada lagi tawaran yang mahukan khidmatnya.

“Jika ada tawaran menarik daripada mana-mana pasukan termasuk Kelantan saya sedia berbincang. Namun buat masa ini belum ada lagi pasukan yang membuat tawaran,” kata Ferris.

Ketika beraksi bersama skuad Penyu, Ferris antara watak penting pasukan itu yang berjaya kembali semula ke saingan Liga Super musim depan selepas muncul naib juara Liga Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 6:07 PM