Mohamad Zulfaizan Mansor


JURULATIH skuad bawah 19 tahun (B-19) negara, Bojan Hodak (gambar) menegaskan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) memiliki sedikit kelebihan berbanding lawannya Kedah pada final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam esok.

Hodak bagaimanapun berkata, peluang Johor DT dan Kedah tetap seimbang dan mengakui sukar untuk meramal pasukan mana yang akan menjulang piala berprestij itu kerana kedua-duanya memiliki kelebihan.

Malah, beliau juga tidak menolak kemungkinan pertemuan dua pasukan gergasi bola sepak tempatan itu akan diheret ke masa tambahan dan penentuan penalti.

“Hanya tinggal satu perlawanan saja lagi, jadi bagi saya tiada pasukan pilihan dan semuanya bergantung kepada persembahan pasukan pada hari perlawanan.

“Apa pun, saya menjangkakan mungkin Johor DT boleh menang 2-1,” kata Hodak ketika dihubungi, hari ini.

Ketika diminta membuat perbandingan antara dua pasukan itu, Hodak berkata, Johor DT mempunyai sedikit kelebihan kerana memiliki ramai pemain berkualiti termasuk dalam kesebelasan utama dan di bangku simpanan.

“Johor DT mempunyai jentera serangan yang serba lengkap dengan gandingan Mohammed Ghaddar, Gabriel Guerra dan Gonzalo Cabrera. Ini menyaksikan mereka mampu meledak gol dari setiap sudut.

“Mereka (Johor DT) memiliki antara 15 hingga 16 pemain berkualiti berbanding Kedah yang dilihat mempunyai kira-kira 11 pemain terbaik yang digunakan untuk barisan pemain utama.

“Malah, Natxo Insa juga mungkin akan menjadi kunci kepada pergerakan Johor DT kerana dia beraksi amat baik di bahagian tengah ketika ini,” katanya.

Mengulas mengenai Kedah pula, Hodak tidak menafikan kemampuan skuad Helang Merah yang mempunyai trio pemain tengah yang cukup baik termasuk Liridon Krasniqi, Baddrol Bakhtiar dan Sandro Da Silva.

“Bagi saya Liridon pemain yang mempamerkan karakter terbaik dalam semua perlawanan penting. Begitu juga dengan Baddrol dan Sandro, gandingan mereka sangat lengkap.

“Ken (Ilso) yang bermain di bahagian serangan pula bekerja keras untuk Kedah. Dia bukan sahaja menjadi penjaring, malah juga mencipta ruang buat Liridon, Baddrol dan Sandro. Jadi itu kelebihan yang dimiliki Kedah,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 7:23 PM