AKSI skuad B-19 ketika menentang Thailand. -Foto Laman AFF
AKSI skuad B-19 ketika menentang Thailand. -Foto Laman AFF
Mohamad Zulfaizan Mansor


JURULATIH bawah 19 tahun (B-19) Bojan Hodak sudah mengetahui ‘senjata rahsia’ untuk berdepan Myanmar pada aksi separuh akhir Kejuaraan B-18 AFF 2017 di Stadium Thuwunna, Yangon, hari ini.

Sedar bakal berdepan tugas sukar apabila berdepan pasukan tuan rumah, Hodak bagaimanapun menjelaskan pertemuan itu akan menyaksikan persembahan sebenar anak buahnya.

“Ia akan menjadi perlawanan getir dengan Myanmar miliki banyak kelebihan terutama mendapat semangat tambahan penyokong mereka.

“Mereka juga pasukan yang bagus dan mempamerkan corak permainan pantas selain memiliki pemain berkualiti tinggi.

“Kami tahu cara mereka bermain, kami tahu apa yang perlu dilakukan ketika berdepan mereka dan sekarang ini saya perlu lihat sama ada perlu buat sesuatu dalam permainan kami,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Skuad muda negara mempamerkan persembahan cemerlang dalam lima perlawanan sebelum ini apabila menang empat kali dan seri sekali untuk muncul juara Kumpulan A.

Malah, berdasarkan rekod bersih tanpa kalah yang dipegang anak didik Hodak ketika ini, Myanmar juga sudah pasti akan lebih berwaspada walaupun mereka memiliki sedikit kelebihan selaku tuan rumah.

Selain itu, Hodak menarik nafas lega apabila semua pemainnya berada pada tahap terbaik dan bersedia untuk diturunkan untuk perlawanan itu.

Ia berbeza dengan saingan peringkat kumpulan sebelum ini apabila bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan Kelantan itu sering melakukan perubahan kerana masalah kecederaan pemain.

“Tiada pemain yang cedera atau digantung, jadi kami mempunyai 23 pemain yang pastinya bersedia untuk diturunkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 8:19 PM