MARIO Gomez. FOTO Mohd Azren Jamaludin
MARIO Gomez. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Mario Gomez menyatakan kesediaan untuk kembali membimbing pasukan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan selepas 10 bulan berehat.

Pengendali kelahiran Argentina berusia 60 tahun itu mengaku rindu dengan kemeriahan bola sepak negara ini dan bersedia untuk mengharungi cabaran baru.

“Ada kemungkinan untuk saya kembali ke Malaysia. Ada ejen menghubungi saya sebelum ini bertanyakan mengenai kedudukan saya tapi tidak terlalu serius, bukan mengenai kontrak.

“Setakat ini saya tidak ada berbincang atau berhubung dengan mana-mana pasukan, tapi memang saya berminat untuk kembali melatih pasukan di Malaysia,” katanya ketika dihubungi semalam.

Gomez sebelum ini membimbing Johor DT selama lebih dua tahun sebelum ditamatkan kontraknya awal tahun ini.

Beliau dianggap antara jurulatih import yang berjaya dalam kancah bola sepak tempatan apabila membantu kelab Harimau Selatan itu merangkul kejuaraan Piala AFC 2015, Liga Super 2015, 2016 dan Piala FA 2016.

Gomez sebelum ini turut menjadi calon pilihan jurulatih Harimau Malaya bagaimanapun disebabkan sedikit masalah berhubung kontrak, maka Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memilih jurulatih dari Portugal, Nelo Vingada bagi menggalas tugas itu.

Menurut Gomez, beliau terbuka untuk menerima sebarang tawaran bagaimanapun mengakui lebih berminat untuk membimbing pasukan Liga Super berbanding Liga Perdana.

“Saya lebih suka kembali ke Malaysia kerana saya sudah berpengalaman di sana. Saya suka dengan suasana, makanan, peminat dan pemain di Malaysia. Tapi, jika diberi pilihan, saya lebih suka mengendalikan pasukan Liga Super,” kata bekas penolong jurulatih Valencia dan Inter Milan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 9:32 AM