TUNKU Ismail  (tengah) pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Pertama Penggal 2017-2021 di Kota Kinabalu semalam.
TUNKU Ismail (tengah) pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Pertama Penggal 2017-2021 di Kota Kinabalu semalam.
Aziman Rosdi


Kota Kinabalu: Kedudukan Tan Cheng Hoe dalam skuad kebangsaan masih menjadi teka-teki dengan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) tampil dengan permintaan baru - ‘beri kami masa’.

Permohonan itu didedahkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang dihubungi wakil KFA bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Terpulang kepada Kedah sama ada hendak lepaskan Cheng Hoe atau sebaliknya. FAM hanya beri cadangan jurulatih tempatan terbaik jadi terpulang kepada Kedah dan Cheng Hoe untuk buat keputusan, bukan kami.

“Kedah meminta lebih masa dan FAM sentiasa terbuka dalam hal ini,” kata Tunku Ismail pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco FAM Pertama Bagi Penggal 2017-2021, di sini, semalam.

Sebelum ini, Cheng Hoe sudah menyerahkan surat peletakan jawatan selaku ketua jurulatih Helang Merah apabila namanya dipilih sebagai pembantu Mario Gomez untuk membimbing skuad Harimau Malaya.

Segala-galanya dilihat bakal berjalan lancar hingga perbincangan untuk merealisasikan gabungan Gomez-Cheng Hoe menemui jalan buntu apabila bekas pengendali Johor Darul Ta’zim (Johor DT) itu dikatakan meminta gaji yang tidak mampu diberi FAM.

Isu itu menjadi semakin hangat apabila Gomez tampil dengan kenyataan mengejutkan yang beliau tidak pernah mahukan Cheng Hoe sebaliknya memilih bekas pembantunya di Harimau Selatan Raul Longhi.

Tunku Ismail akhirnya tampil menjelaskan idea untuk membawa masuk Cheng Hoe datang daripada beliau kerana berpendapat gabungan jurulatih import dan tempatan bakal memberi faedah jangka panjang buat skuad negara.

Keadaan itu membuatkan kedudukan Cheng Hoe bagaikan terumbang-ambing dan KFA sendiri dikhabarkan enggan melepaskan jurulatih yang sudah membawa kejayaan buat Helang Merah musim lalu.

Menurut Tunku Ismail, beliau ada berhubung dengan Gomez dan mengesahkan jurulatih Argentina itu sudah tidak ada dalam perancangan mereka.

“Semalam (kelmarin) saya ada berbual dengan Gomez, beliau mempunyai permintaan tersendiri dan saya juga ada prinsip. Saya kena jaga kepentingan pasukan kebangsaan dan FAM. Perjanjian saya dengan Gomez tak sesuai untuk beliau bersama FAM.

“Kita akan tahu jurulatih baru kebangsaan dalam beberapa minggu lagi, bukan beberapa bulan. Kita mempunyai beberapa calon jurulatih luar negara yang berminat tapi mereka nak jumpa saya dulu untuk mengetahui projek skuad kebangsaan,” katanya.

FAM kini dalam proses untuk mencari ketua jurulatih baru dan Tunku Ismail mengesahkan pengendali dari Sepanyol Josep Gombau berminat membimbing skuad Harimau Malaya namun tidak dapat dilakukan dalam masa terdekat kerana masih mempunyai kontrak bersama skuad Bawah 23 tahun (B-23) Australia.

“Gombau memang berminat tapi beliau masih mempunyai kontrak dengan skuad Australia. Untuk jangka masa panjang mungkin beliau sesuai tapi kita kena bincang lebih lanjut. Kita juga ada beberapa calon untuk tugas sebagai Pengarah Teknikal,” katanya yang bagaimanapun enggan mendedahkan nama calon jurulatih terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2017 @ 3:04 AM