GOMEZ nafi minta gaji terlampau tinggi daripada FAM.
GOMEZ nafi minta gaji terlampau tinggi daripada FAM.
Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Mario Gomez tidak berkecil hati meskipun bukan hanya hasratnya untuk membimbing skuad Harimau Malaya tidak kesampaian, malah terlepas dua tawaran kelab luar.

Walaupun tetap mengakui tidak pernah meminta gaji terlampau tinggi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pengendali Argentina itu enggan kontroversi berhubung isu kontraknya berlanjutan.

“Saya hanya mengetahui menerusi laporan media yang saya tidak dipilih menjadi jurulatih kebangsaan, namun ia bukan masalah. Saya juga tidak mahu bekerja di tempat di mana saya tidak diperlukan.

“Tunku Ismail (Sultan Ibrahim) memberi tawaran AS$27,000 (RM110,841) sebulan dan saya terus terima. Kemudian beliau berjanji mahu menghubungi saya tapi kemudiannya diam. Saya tidak pernah minta gaji AS$45,000 (RM199,834).

“Saya tolak dua tawaran daripada kelab lain dalam tempoh 50 hari sebelum kekalutan ini timbul. Saya tolak tawaran mereka kerana fikir akan dapat tugas membimbing Harimau Malaya.

“Tapi, tidak mengapa, saya harap boleh dapat tawaran lain nanti,” katanya ketika dihubungi di Buenos Aires, Argentina semalam.

Arena Metro sebelum ini melaporkan Tunku Ismail selaku Presiden FAM melantik Gomez, 60, sebagai jurulatih baru Harimau Malaya untuk mengambil alih tugas Datuk Ong Kim Swee pada 25 Mac lalu.

Namun, kejutan berlaku beberapa hari selepas itu apabila Tunku Ismail mengumumkan FAM akan mencari calon lain apabila perbincangan bersama Gomez tidak mencapai kata putus.

Menurut Gomez beliau gembira dengan kejayaan dicapai apabila meraih lima gelaran bersama Johor DT termasuk dua trofi Liga Super dan Piala AFC 2015.

“Saya memberikan sumbangan terbaik kepada Johor DT dan bola sepak Malaysia. Saya berkongsi kejayaan bersama penyokong.

“Pemain dan staf semua seperti satu keluarga dalam usaha kami memenangi lima piala. Saya mahu berterima kasih kepada TMJ (Tunku Ismail) selama dua tahun saya bekerja dengannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 9:34 AM