Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Jurulatih Tan Cheng Hoe menegaskan pengundurannya daripada membimbing Kedah musim ini tidak akan menjejaskan peluang skuad Helang Merah itu merebut kejuaraan.

Beliau yang sudah menerima surat pelantikan menjadi penolong jurulatih Harimau Malaya beberapa hari selepas menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) kini hanya menunggu untuk menggalas tugas baru.

“Kedah akan mendapatkan jurulatih baru secepat mungkin. Buat masa ini semua berjalan lancar.

“Saya yakin Kedah mampu meneruskan cabaran tanpa saya. Mereka akan mendapat jurulatih baru untuk terus berjuang untuk baki saingan musim ini,” katanya.

KFA buat masa ini masih meminta ruang untuk mereka mencari pengganti Cheng Hoe dengan beberapa calon sedang dikenal pasti.

Dalam laporan Arena Metro sebelum ini, pengendali Kedah itu menjadi pilihan untuk menjadi penolong jurulatih kepada Mario Gomez.

Namun disebabkan masalah kontrak, Gomez tidak dilantik untuk membimbing Harimau Malaya.

Bagi Cheng Hoe yang pernah menjadi penolong jurulatih Harimau Malaya kepada Datuk K Rajagobal, beliau mengakui tidak ada masalah bekerja dengan mana-mana jurulatih.

“Saya tidak diberikan tempoh tertentu untuk melaporkan diri dengan FAM dan saya masih berminat dengan tugas baru ini walaupun Gomez bukan jurulatih kebangsaan.

“Tugas utama saya nanti adalah untuk memantau prestasi pemain dalam liga serta melakukan analisis terhadap pasukan Korea Utara dan Lebanon bagi aksi kelayakan Piala Asia nanti,” katanya.

Cheng Hoe memiliki rekod baik bersama Helang Merah sejak mengambil alih tugas David Mitchell pada 2014 dengan membantu pasukan itu layak ke Liga Super, sebelum memenangi Piala Malaysia tahun lalu.

Kedah menjadi pasukan pilihan untuk merangkul gelaran apabila kini menduduki tangga ketiga liga serta masih lagi bersaing dalam Piala FA.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2017 @ 11:11 AM