KESILAPAN Svilar beri kelebihan kepada United. FOTO/AFP
KESILAPAN Svilar beri kelebihan kepada United. FOTO/AFP
AFP

LISBON: Manchester United harus berasa lega selepas kesilapan penjaga gol memastikan wakil Inggeris itu mengatasi Benfica 1-0, awal pagi tadi sekali gus menghampiri peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.

Marcus Rashford memecah kebuntuan selepas sejam perlawanan apabila bola sepakan percuma daripada sebelah kiri, mengelirukan penjaga gol muda tuan rumah Mile Svilar.

Keputusan itu menyaksikan Red Devils mengekalkan rekod bersih tiga kemenangan daripada tiga perlawanan pertama Kumpulan A untuk mengutip sembilan mata maksimum.

Svilar, yang muncul selaku penjaga gol termuda memulakan aksi Liga Juara-Juara pada usia 18 tahun 52 hari, berjaya menangkap bola tetapi kesilapannya yang terlalu mengundur ke belakang menghadiahkan United gol pelik itu.

United ternyata bernasib baik dan meskipun menguasai sepenuhnya permainan, namun mereka gagal mencipta gerakan berbahaya ke atas juara Portugal itu yang juga pemenang dua kali saingan Eropah.

Malah, layangan kad merah ke atas kapten Benfica, Luisao menambahkan lagi duka tuan rumah selepas melakukan kekasaran ke atas pemain tengah United, Scott McTominay.

Pengurus United, Jose Mourinho, berkata dia tetap berpuas hati dengan persembahan pemainnya selepas berjaya menguasai perlawanan.

“Saya tidak pernah merasakan yang kami akan bolos,” katanya. “Kami begitu mantap di bahagian pertahanan.

“Dengan pertahanan yang bagus ia memudahkan kami mendapat hasil dan kami kini sudah mengumpul sembilan mata. Secara asasnya kami kini hanya dipisahkan satu mata untuk layak.”

Katanya, United juga sememangnya memasang strategi memberi tekanan ke atas penjaga gol muda itu dalam situasi bola mati, termasuk meletakkan pemain yang lebih ramai di kelilingnya untuk merentap keyakinannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 9:51 AM