STERLING (kanan) jaring gol pertama City. -Foto EPA
STERLING (kanan) jaring gol pertama City. -Foto EPA
AFP

MANCHESTER: Gol awal Raheem Sterling dan Gabriel Jesus menyaksikan Manchester City mengekalkan rentak kemenangan dalam kempen Liga Juara-Juara dengan menundukkan Napoli 2-1, awal pagi tadi.

City meledak dua kali dalam tempoh 13 minit pertama di Stadium Etihad untuk menundukkan pendahulu Serie A Itali, Napoli sekali gus mengukuhkan kedudukan teratas Kumpulan F dengan kelebihan enam mata.

Pada pertemuan paling dinanti antara dua pasukan ‘paling tajam’ dalam kempen liga domestik di Eropah itu, City bermula baik apabila Sterling meledak gol pembukaan seawal minit kesembilan, sebelum Jesus menggandakan kedudukan empat minit kemudian.

Tetapi, skuad kendalian Pep Guardiola turut dikenakan dua penalti yang satunya berjaya diselamatkan apabila Ederson menggagalkan sepakan Dries Mertens, namun penalti Amadou Diawara pada minit ke-73 berjaya menerjah gawangnya.

“Apabila menang 4-0, kamu akan kurang gugup berbanding menang 2-1,” kata Guardiola. “Tetapi saya menjangkakan perkara itu.

“Tetapi saya tidak menyangka untuk mengawal permainan untuk 90 minit, kerana Napoli adalah pasukan yang cukup cemerlang.

“Kamu tidak boleh menewaskan Napoli jika tidak menampilkan persembahan yang amat baik. Kami melakukannya dan saya amat gembira.”

JESUS (TENGAH) jaringkan gol kedua City lepasi jangkauan penjaga gawang Napoli, Pepe Reina. -Foto Reuters
JESUS (TENGAH) jaringkan gol kedua City lepasi jangkauan penjaga gawang Napoli, Pepe Reina. -Foto Reuters

Dengan tiga kemenangan daripada tiga aksi, City tampak berada di landasan tepat untuk mara ke peringkat 16 terbaik.

Sedangkan Napoli yang menang semua lapan aksi domestik perlu bergelut untuk mara selepas dipalit kekalahan kedua di peringkat Eropah.

Napoli perlu segera melupakan kekalahan kepada City apabila dijadual bertemu seteru, Inter Milan dalam saingan Serie A, Sabtu ini.

“Kami berdepan beberapa kesulitan menentang pasukan yang mencetuskan kesukaran kepada sebarang pasukan ketika ini,” kata jurulatih Napoli, Maurizio Sarri.

“Tetapi kami berjaya bangkit dan tidak banyak pasukan berjaya melakukan seperti apa yang kami lakukan dan mencetus kesukaran buat City.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2017 @ 9:11 AM