AKSI  De Bruyne (tengah) melepasi kawalan pemain Wolves,  Willy Boly (kanan). FOTO AFP
AKSI De Bruyne (tengah) melepasi kawalan pemain Wolves, Willy Boly (kanan). FOTO AFP
AFP

Wolverhampton: Pep Guardiola menganggap Phil Foden sebagai 'fantastik' selepas membantu Manchester City menewaskan Wolves 3-1, awal pagi tadi.

City yang memulakan kempen lewat susulan terbabit Liga Juara-Juara musim lalu ketinggalan enam mata di belakang Liverpool sebelum mereka menendang bola.

Skuad Guardiola tidak boleh tercicir mata di Molineux jika mahu mengejar juara bertahan itu dan mereka mendahului dua gol sebelum tamat babak pertama hasil jaringan penalti Kevin De Bruyne dan rembatan Foden.

Namun City gagal mengekalkan momentum pada awal babak kedua apabila Wolves mula mendominasi perlawanan dan tuan rumah berjaya merapatkan kedudukan menerusi tandukan Raul Jimenez sebelum Gabriel Jesus mengesahkan tiga mata dalam masa kecederaan.

GAYA  Jesus meraikan jaringan ketiga City. FOTO AFP
GAYA Jesus meraikan jaringan ketiga City. FOTO AFP

Jaringan Foden memberi lonjakan moral kepadanya yang tampil aksi pertama sejak pemain tengah itu dihantar pulang bersama pemain Manchester United, Mason Greenwood selepas membawa wanita di hotel penginapan England.

Kesalahan tidak mematuhi protokol koronavirus itu dilakukan selepas tamat aksi England di Iceland dalam kempen Liga Negara-Negara yang menimbulkan kemarahan City namun pemain berusia 20 tahun itu tetap mendapat kepercayaan Guardiola.

"Jaringan itu dan aksi Foden pada babak kedua sangat bagus, dia membantu kami memegang bola,'' kata Guardiola.

Ketika City menyamai rekod Aston Villa dengan menang 10 perlawanan pembukaan berturut-turut, tiada keraguan Liverpool kekal pencabar utama gelaran buat masa sekarang.

Tetapi Guardiola gembira memulakan kempen dengan kemenangan selepas berdepan pramusim yang lebih pendek.

"Kami tak boleh berlari lebih banyak kerana kaki penat tetapi keseluruhan kami bermain dengan baik," he said.

"Kami tahu betapa sukar stadium ini. Kadang-kadang kami perlukan lebih masa untuk mencapai tahap terbaik dan sangat bagus datang ke sini dan menang.''

Selepas ketinggalan 18 mata di belakang Liverpool dan tersingkir pada suku akhir Liga Juara-Juara menentang Lyon, City perlu menekan lebih kuat juara bertahan dan petanda awal sangat menggalakkan.

De Bruyne yang dipilih Pemain Terbaik Tahunan PFA musim lalu bekerja keras memecah kubu lawan dan pada minit ke-20 dia dijatuhkan Romain Saiss dan pengadil, Andre Marriner memberikan penalti yang tenang disempurnakan De Bruyne.

City dua kali ditewaskan Wolves musim lalu namun tidak kali ini dan mereka meledak gol kedua pada minit ke-32.

Foden yang mendapat hantaran daripada Raheem Sterling tenang merembat dari jarak 10 meter.

Selepas hambar di babak pertama, Wolves tampil lebih garang selepas rehat dan pada minit ke-78 berjaya merapatkan kedudukan menerusi tandukan cantik Jimenez yang mendapat hantaran Daniel Podence tetapi Jesus menamatkan kebangkitan tuan rumah menerusi percubaannya yang terkena kaki Conor Coady sebelum menerjah jaring.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 7:43 AM