JESUS ketika menyempurnakan sepakan penalti. FOTO/AFP
JESUS ketika menyempurnakan sepakan penalti. FOTO/AFP
Reuters

MANCHESTER: Gabriel Jesus meledak gol ketujuh dalam tiga perlawanan, dengan dua daripadanya ketika Manchester City menewaskan Wolverhampton Wanderes 3-0, ketika lawan beraksi dengan 10 pemain, awal pagi tadi.

Kemenangan itu sekaligus menyaksikan City berjaya mengurangkan jurang dengan pendahulu Liga Perdana, Liverpool kepada empat mata.

Pemain Brazil itu membuka tirai jaringan pada minit ke-10, sebelum menyempurnakan penalti di akhir babak pertama, - selepas Wolves terpaksa beraksi dengan 10 pemain berikutan Willy Boly dilayangkan kad merah.

Selepas tewas berturut-turut pada saingan liga ketika musim perayaan Krismas, City kini sudah melakar lima kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan.

Prestasi semasa City itu dilihat mampu merealisasikan impian mereka mempertahankan gelaran dan terus menjadi ancaman utama kepada Liverpool di bawah bimbingan Juergen Klopp.

JESUS meraikan gol bersama rakan sepasukan. FOTO/AFP
JESUS meraikan gol bersama rakan sepasukan. FOTO/AFP

"Kami sudah beberapa kali menentang lawan yang beraksi dengan 10 pemain dan sepatutnya perlu lebih agresif ketika menyerang. Tetapi kami perlu juga memikirkan perlawanan lain yang bakal diharungi di saingan liga.

"Setiap pemain beraksi dengan baik dan tidak memberikan ruang kepada lawan. Akhirnya kami memperoleh tiga mata berharga untuk terus memberi tekanan kepada pasukan tangga teratas," kata Pengurus City, Pep Guardiola.

City yang sudah menjaringkan 99 gol dalam semua pertandingan musim ini sedar, hanya kemenangan akan mencerahkan peluang mencabar Liverpool selepas seteru utama mereka itu melakar kemenangan di Brighton & Hove Albion.

Dalam aksi pagi tadi, Jesus meledak gol pertama minit ke-10 selepas menerima hantaran cantik Leroy Sane.

Jesus kemudian menyempurnakan sepakan penalti minit ke-39, selepas Ryan Bennett mengasari Raheem Sterling.

Gol ketiga City terhasil selepas pemain Wolves menjaringkan gol ke gawang sendiri minit ke-78.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 7:48 AM