Meunier (dua dari kanan) meraikan jaringan keduanya bersama Mbappe (tengah). -Foto Reuters
Meunier (dua dari kanan) meraikan jaringan keduanya bersama Mbappe (tengah). -Foto Reuters
AFP

PARIS: Dua jaringan Thomas Meunier memberikan Paris Saint-Germain kemenangan 2-1 ke atas Dijon dalam saingan Ligue 1, awal pagi tadi selepas tuan rumah merasakan mereka boleh seri pada lewat permainan menerusi voli menakjubkan Benjamin Jeannot.

Keputusan itu memberikan PSG jurang enam mata mengatasi pasukan tangga kedua Monaco yang tewas 2-3 di Lyon semalam ketika presiden mereka, Nasser al-Khelaifi berdepan siasatan penjualan hak penyiaran untuk Piala Dunia.

“Kami amat fokus untuk liga dan Liga Juara-Juara,” kata jurulatih PSG, Unai Emery.

“Presiden (Khelaifi) sering bercakap dengan Antero (Henrique, pengarah sukan). Saya sentiasa diberitahu, dan dia memberitahu dia akan berada bersama kami untuk perlawanan Rabu (di Anderlecht).”

Penjaring gol kemenangan, Meunier menegaskan dia berada “1,000 peratus” yakin bilik persalinan pasukan itu langsung tidak menerima kesan di sebalik dakwaan terhadap Khelaifi.

“Ia tiada kena mengena dengan pemain PSG, ia tidak membimbangkan kami,” katanya.

Dalam stadium yang penuh, Dijon memberikan tentangan sengit buat PSG yang tampil tanpa Edinson Cavani, Marco Verratti, Thiago Motta, Thiago Silva dan Layvin Kurzawa.

Emery berkata selepas perlawanan bahawa Cavani berdepan masalah kaki yang dialami sebelum bermain buat Uruguay dalam kelayakan Piala Dunia.

Angel Di Maria, Neymar dan Kylian Mbappe masing-masing boleh menjaringkan gol namun dua kali bola terkena tiang sebelum mereka menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-70.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2017 @ 12:47 PM