Baddrol mempersembahkan Piala FA kepada Sultan Kedah di Istana Anak Bukit selepas menewaskan Pahang 3-2 dan Baddrol (depan) bersama trio import Kedah. FOTO OSMAN ADNAN
Baddrol mempersembahkan Piala FA kepada Sultan Kedah di Istana Anak Bukit selepas menewaskan Pahang 3-2 dan Baddrol (depan) bersama trio import Kedah. FOTO OSMAN ADNAN
Firdaus Hashim


TONGGAK tengah Kedah, Baddrol Bakhtiar mengingatkan rakan sepasukannya supaya kekal fokus menghadapi suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Selangor, Jumaat ini, biarpun masih sedih dengan kemangkatan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, kelmarin.

Pemain Harimau Malaya itu menyifatkan berita kemangkatan baginda cukup mengejutkan seluruh pemain Kedah yang kini berazam memburu kemenangan selesa di Stadium Majlis Perbandaran Selayang untuk didedikasikan kepada Almarhum Sultan Kedah.

Bagi Baddrol, kemangkatan baginda yang juga peminat nombor satu skuad Hijau Kuning adalah satu kehilangan yang amat besar buat bola sepak di negeri itu.

“Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah mangkat ketika kami bersiap mempertahankan Piala Malaysia dimenangi musim lalu sangat menyedihkan.

“Almarhum Tuanku akan sentiasa berada di mana-mana perlawanan dan sentiasa memberi sokongan padu kepada pemain.

“Malah, baginda juga sering memberi kata-kata semangat dan motivasi kepada kami tidak kira menang atau tewas. Untuk aksi suku akhir nanti, kami mahu cari kemenangan buat Almarhum Tuanku,” katanya dihubungi Arena Metro, hari ini.

Kedah memburu gelaran berganda selepas menjuarai Piala FA menewaskan Pahang 3-2 pada Mei lalu selain memenangi Piala Sumbangsih di awal musim menyaksikan mereka kini dalam laluan untuk mempertahankan Piala Malaysia sekali gus menjuarainya buat kali kelima.

Anak buah Nidzam Adzha Yusoff itu mara ke peringkat lapan terbaik selepas muncul juara Kumpulan C dengan meraih 15 mata dan berdepan Selangor yang sekadar menamatkan saingan Kumpulan D di tangga kedua.

Baddrol mengecapi pelbagai kejuaraan di peringkat domestik dan antarabangsa mengakui Almarhum pernah menasihatkannya agar menjaga disiplin dan prestasi.

“Almarhum Tuanku sering membantu secara menyeluruh, terutamanya dalam memberi nasihat serta teguran yang membina terhadap pasukan, termasuklah saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 7:59 PM