PEMAIN Terengganu Issey Nakajima Farran (tengah) diasak pemain Kedah Rizal Ghazali (kanan) dan Khairul Helmi Johari (kiri) pada separuh akhir kedua Piala FA, kelmarin.
PEMAIN Terengganu Issey Nakajima Farran (tengah) diasak pemain Kedah Rizal Ghazali (kanan) dan Khairul Helmi Johari (kiri) pada separuh akhir kedua Piala FA, kelmarin.
Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Bekas jurulatih Kedah Tan Cheng Hoe mengakui berasa sedih kerana tidak dapat bersama pasukan itu meraikan kejayaan mara ke pentas final Piala FA buat kali pertama sejak 2010.

Bagaimanapun beliau percaya, pengorbanan yang dilakukan itu adalah demi kejayaan lebih besar bersama Harimau Malaya selepas ini.

“Memang ada rasa sedih kerana tidak bersama Kedah ke final Piala FA, tapi saya fokus dengan cabaran lebih besar. Saya melihat perkara ini dengan lebih positif,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Cheng Hoe tidak sempat meneruskan tugasnya bersama Helang Merah apabila Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menerima surat peletakan jawatannya April lalu untuk membenarkannya menyertai skuad Harimau Malaya sebagai penolong jurulatih.

Ketiadaan Cheng Hoe, KFA mengarahkan penolong jurulatih Nidzam Adzha Yusoff mengisi kekosongan itu buat sementara.

Ketika di bawah bimbingan Cheng Hoe, Kedah berjaya menempatkan diri semula dalam kalangan pasukan elit dengan menjuarai Piala Malaysia tahun lalu dan bersaing hebat dalam Liga Super tahun ini.

Kedah mara ke final Piala FA dengan menyingkirkan Terengganu menerusi agregat 4-0 dan akan bertemu Pahang pada final di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Bagi Cheng Hoe, beliau percaya bekas anak didiknya mampu mengulangi kejayaan terakhir memenangi gelaran dengan menewaskan Selangor 3-2 pada final 2008.

“Jurulatih Nidzam berjaya membimbing pasukan dengan baik tapi apa yang penting adalah kemahuan pemain itu sendiri. Setiap pemain pasti mempunyai sasaran tersendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2017 @ 11:18 AM