SKUAD boling padang negara muncul juara keseluruhan di Kejohanan Boling Padang Asia ke-15 di Pattaya, Thailand. FOTO FB PERSEKUTUAN BOLING PADANG ASIA
SKUAD boling padang negara muncul juara keseluruhan di Kejohanan Boling Padang Asia ke-15 di Pattaya, Thailand. FOTO FB PERSEKUTUAN BOLING PADANG ASIA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Skuad boling padang negara berada dalam kelas tersendiri apabila sekali lagi muncul juara keseluruhan Kejohanan Boling Padang Asia ke-15 di Pattaya, Thailand pada 3 hingga 10 Mac lalu.

Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM) menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan skuad negara yang turun selaku juara Kejohanan Boling Padang Asia ke-14 itu membawa pulang tiga pingat emas, dua perak dan dua gangsa.

Tempat kedua keseluruhan disambar Filipina dan ketiga menjadi milik India.

Pingat emas negara dihasilkan menerusi Izzat Shameer Dzulkeple yang berentap bagi acara inividu lelaki, selain Soufi Rusli, Idham Amin Ramlan dan Fadley Abd Jabal bagi acara 'Man Triples' manakala Aleena Nawawi, Nur Ain Nabilah Tarmizi, Nor Farah Ain Abdullah serta Syafiqa Haidar Rahman mendominasi acara 'Women's Fours'.

Pingat perak disumbang menerusi Nurul Alyani Jamil, Nor Farah Ain dan Syafiqa bagi acara Women's Triples sementara Fadley, Hizlee Abdul Rais, Idham Amin serta Soufi bagi acara Men Fours, manakala dua pingat gangsa dihasilkan melalui Ahmad Zikri Sazeli dan Amirul Daniel Abdul Ramlan dalam acara Boy's Singles serta Nurul Alia Fitrah Mohamad Ali dan Ahmad Zikri acara Mixed Pairs.

Kejohanan Boling Padang Asia adalah kejohanan boling padang terbesar di rantau Asia yang mendapat pengiktirafan daripada World Bowls dan Bowls Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 9:16 PM