TUNKU Ismail (kiri) janjikan bonus kemenangan jika skuad Harimau Malaya dapat kalahkan Hong Kong. -Foto fail
TUNKU Ismail (kiri) janjikan bonus kemenangan jika skuad Harimau Malaya dapat kalahkan Hong Kong. -Foto fail
Oleh Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: “Selama lebih 40 tahun saya berkecimpung dalam sukan bola sepak, ini kali pertama saya mendengar ganjaran dijanjikan sebelum perlawanan berlangsung,” kata bekas pembantu jurulatih kebangsaan era 80-an, Datuk Khaidir Buyong.

Bagaimanapun, Khaidir menjelaskan dia tidak begitu terkejut dengan ganjaran yang ditawarkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kepada pemain skuad kebangsaan kerana pemberian bonus kemenangan perkara normal dalam dunia bola sepak profesional.

Malah, insentif itu wajar dilihat daripada sudut positif kerana sudah pasti ia mampu dijadikan perangsang buat pemain untuk terus memberikan persembahan yang terbaik sekali gus memadam kritikan yang dilemparkan terhadap prestasi semasa skuad kebangsaan yang dilihat hambar ketika ini.

“Pada pandangan saya, itu satu tindakan yang berani daripada Tunku Ismail dan saya kira sebagai Presiden FAM, tidak ada salahnya beliau memberikan ganjaran walaupun ia sedikit unik kerana insentif diumumkan dahulu sebelum pertandingan.

“Dengan jumlah sebesar itu, saya yakin pemain akan bermain bermati-matian bukan sekadar untuk ganjaran itu tetapi juga menjaga maruah negara. Jangan suka berpandangan negatif sahaja kerana ini boleh dianggap sebagai satu bentuk motivasi yang baik.

“Dalam hal ini, Tunku Ismail sudah menjalankan tanggungjawabnya sebagai presiden, jadi tiba masa pemain membalasnya dengan meraih kemenangan di atas padang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tunku Ismail ketika persidangan video bersama jurulatih Nelo Vingada dan barisan pemain semalam, mengumumkan setiap pemain ditawarkan RM30,000 sekiranya dapat menewaskan Hong Kong dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hong Kong, malam ini.

Anak buah Vingada memerlukan kemenangan ke atas Hong Kong selepas sekadar seri 1-1 di Melaka pada 5 September lalu untuk menghidupkan peluang mereka dalam aksi kelayakan Kumpulan B.

Sebelum itu, Malaysia tewas 1-2 kepada Lubnan dalam aksi pembukaan di Larkin, 13 Jun lalu sekali gus menyaksikan mereka kini menduduki tangga tercorot dengan satu mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 1:56 PM