TUNKU Ismail. FOTO Mohd Azren Jamaludin
TUNKU Ismail. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Syafiq Aznan

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menjalankan bedah siasat susulan prestasi kurang memberangsangkan yang dilakar skuad kebangsaan dalam beberapa perlawanan mereka tahun ini.

Presidennya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, badan induk itu akan mengadakan satu mesyuarat bersama pengarah teknikal selepas pasukan kembali daripada aksi Kelayakan Piala Asia 2019 di Thailand, minggu depan.

“Kami akan membuat keputusan yang akan memberikan manfaat bagi penambahbaikan pasukan kebangsaan dalam segala aspek.

“Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya ke atas kekalahan pasukan kebangsaan hari ini dan kekalahan yang akan datang sebagai Presiden FAM.

“Bagaimanapun, saya berkhidmat kepada rakyat dan apa saja keinginan rakyat akan saya cuba laksanakan.

“Jika perkhidmatan saya masih diperlukan untuk meningkatkan mutu bola sepak tanah air, saya akan memegang amanah yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan di akaun rasmi Facebook FAM, semalam.

Prestasi skuad kebangsaan terus terumbang-ambing dan mereka sudah boleh melupakan impian mara ke pusingan akhir Piala Asia 2019 selepas dibelasah Korea Utara 4-1 pada aksi kelayakan Kumpulan B di Stadium I-Mobile, Buriram, malam kelmarin.

Pengendali skuad kebangsaan, Nelo Vingada juga masih belum menamatkan kemarau tanpa sebarang kemenangan selepas enam perlawanan membimbing Harimau Malaya termasuk aksi kelayakan Piala Asia dan persahabatan antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 5:45 AM