SKUAD Harimau Malaya ketika sesi latihan di Wisma FAM Kelana Jaya. -Foto OSMAN ADNAN
SKUAD Harimau Malaya ketika sesi latihan di Wisma FAM Kelana Jaya. -Foto OSMAN ADNAN
Oleh Devinder Singh


PASUKAN bola sepak kebangsaan dijangka akan menduduki ranking terburuk apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengeluarkan senarai terkini bagi bulan Oktober esok.

Malaysia kini menduduki ranking ke-166 berkongsi kedudukan bersama Laos dengan 126 mata, berkemungkinan akan menurun empat atau lima kedudukan selepas kehilangan 16 mata susulan kekalahan 2-0 kepada Hong Kong pada kelayakan Kumpulan B Piala Asia pada 10 Oktober.

Kedudukan terburuk itu adalah yang terburuk sejak Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil alih jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Mac lalu dan menghampiri kedudukan terburuk skuad kebangsaan di ranking 174 yang diperoleh pada April dan Mei tahun lalu.

Pasukan kebangsaan tidak memenangi sebarang lapan perlawanan antarabangsa yang lalu termasuklah lima perlawanan di bawah jurulatih baru kebangsaan, Nelo Vingada, sejak menewaskan Kemboja 3-2 pada November lalu di Piala AFF.

Malaysia hanya seri 0-0 menentang Filipina dalam perlawanan persahabatan dan seri 1-1 menentang Hong Kong pada kelayakan Piala Asia sepanjang tempoh itu.

Rekod tanpa kemenangan itu adalah yang terpanjang sejak 2013-14, mengakhiri rekod lapan perlawanan tanpa kemenangan skuad kebangsaan ketika di bawah bimbingan K Rajagobal yang bersama skuad kebangsaan selama empat tahun.

Kekalahan kepada Hong Kong bagaimanapun hanyalah membabitkan satu pertiga daripada kehilangan 16 mata ranking skuad kebangsaan, dengan selebihnya disebabkan oleh kehilangan 20 peratus daripada nilai mata dikutip ketika menewaskan Timor Leste 1-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia pada tahun 2015.

Kemenangan ke atas Hong Kong sepatutnya membolehkan Malaysia melonjak antara lima hingga tujuh anak tangga dengan 145 mata.

Berikutan aksi hambar menentang Hong Kong, Tunku Ismail berkata dia terpaksa campur tangan dalam pengurusan pasukan kebangsaan.

Presiden FAM itu turut mendakwa beberapa pemain dalam skuad tidak layak disenaraikan dan dia tahu Harimau Malaya bakal berdepan masalah sebaik melihat kesebelasan utama menentang Hong Kong.

Malaysia dijadualkan bertemu Korea Utara dalam satu lagi aksi kelayakan Piala Asia 2019 di laman sendiri pada 14 November, dengan perlawanan di tempat lawan bertemu lawan yang sama masih belum ditentukan tarikh dan tempatnya selepas tertunda tiga kali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2017 @ 7:53 PM