SKUAD Helang Merah tekad kekal di tangga kedua Liga Super musim ini. - Foto fail
SKUAD Helang Merah tekad kekal di tangga kedua Liga Super musim ini. - Foto fail
Izzali Ismail


KEDAH bertekad tidak mensia-siakan kelebihan beraksi menentang FELDA United di gelanggang sendiri bagi memburu kemenangan malam esok.

Ketua jurulatih Nidzam Adzha Yusoff berkata, beliau yakin semangat ditunjukkan semua pemainnya dalam aksi suku akhir pertama menentang Selangor Jumaat lalu, mampu diteruskan bagi memburu tiga mata disasarkan.

Berkedudukan di tempat kedua pada carta Liga Super di belakang pendahulu Johor Darul Ta’zim, Kedah menurut Nidzam mempunyai peluang baik untuk mengukuhkan kedudukannya.

“Kita perlu mengambil kesempatan kerana beraksi di laman sendiri (Darul Aman) adalah kelebihan dengan sokongan padu peminat.

“Walaupun fokus kami nampaknya terarah kepada saingan suku akhir Piala Malaysia, kita juga mahu kedudukan di tangga kedua Liga Super diperkukuhkan dengan kemenangan.

“Selepas tewas 1-2 kepada Pahang dalam aksi di Kuantan 5 Ogos lalu, pastinya kali ini kami mahu bangkit dengan kemenangan.

“Momentum kemenangan sewaktu bertemu Selangor menjadi motivasi semua pemain,” katanya.

Begitupun, Nidzam meminta semua pemainnya berwaspada dengan kemampuan FELDA United yang mampu memberi cabaran sengit.

Kedah kini mempunyai 34 mata dan perlu mendapatkan tiga mata untuk kekal di tangga kedua serta perlu mengelak dipintas Pahang yang dipisahkan hanya dengan satu mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 9:38 PM