AIDIL (kiri) meraikan kemenangan Kedah selepas tamat perlawanan. FOTO FB Kedah FA
AIDIL (kiri) meraikan kemenangan Kedah selepas tamat perlawanan. FOTO FB Kedah FA
BERNAMA

KEMENANGAN 2-0 ke atas Selangor menyuntik semula semangat dan keyakinan semua pemain skuad Lang Merah untuk terus mencipta kemenangan dalam saingan Liga Super musim ini.

Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, walaupun tewas dua kali dan seri sekali bertemu Johor Darul Ta’zim, Terengganu dan UiTM FC, namun atas tekad yang tinggi untuk menang, mereka cekal berusaha dan berhasil mengutip tiga mata.

“Kita tahu perlawanan bukan mudah sebab Selangor tak pernah kalah selepas tiga perlawanan, kredit kepada semua pemain kerana mereka berusaha dan tidak putus asa untuk menang perlawanan ini.

“Tak ada perubahan taktikal, tetapi motivasi pemain sendiri yang mahukan kemenangan, walaupun tanpa penyokong, mereka tetap mainkan peranan dengan baik di setiap bahagian,” katanya kepada wartawan selepas tamat perlawanan Alor Setar, semalam

Dalam pada itu, Aidil mengingatkan pemainnya agar tidak ambil mudah dengan permainan pihak lawan.

“Kita akan terus berusaha keras untuk perlawanan seterusnya bertemu PDRM. Pemain jangan ambil mudah, kena gandakan latihan, tingkatkan kecergasan dan fokus untuk mencipta kemenangan seterusnya,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Selangor, B. Satiananthan berkata pemainnya tidak bermain pada tahap sebenar semalam dan cetek idea untuk memecahkan benteng pertahanan pasukan Kedah untuk menjaringkan gol.

“20 minit pertama kita kawal dan main dengan baik, tetapi selepas Kedah mendahului satu gol, kita dah hilang fokus, separuh masa kedua kita cuba bangkit, ramai yang bermain macam ada tekanan, sepatutnya itu tidak boleh berlaku.

“Saya harap, saya ada masa untuk baiki kesilapan selepas Liga Malaysia ditangguhkan dan kalau ada import yang tak memberi impak kepada pasukan, saya kena keluarkan,” katanya.

Kedah sekadar mengutip empat mata dalam empat kali penampilan selepas tewas dua kali bertemu Johor Darul Ta’zim dan Terengganu, manakala seri ketika bertemu UiTM FC.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 11:04 AM