Durakovic (kanan) memantau pemainnya ketika sesi latihan. -Foto fail
Durakovic (kanan) memantau pemainnya ketika sesi latihan. -Foto fail
Ajitpal Singh


MEHMET Durakovic adalah antara segelintir individu yang pernah memenangi Piala Malaysia sebagai pemain dan jurulatih.

Pengendali berusia 52 tahun itu menjulang Piala Malaysia ketika bermain untuk Selangor antara 1995-97 dan beliau juga pernah berbuat demikian bersama pasukan sama tetapi selaku jurulatih pada 2015.

Kini, tumpuan pengendali Australia itu tetap sama iaitu mahu menjulang kejuaraan serupa tetapi dengan pasukan berbeza, Perak.

Kempen Perak pada babak kedua musim ini meningkat hasil kaedah yang diperkenalkan Durakovic selain dibantu kecemerlangan pemain import Brazil, Gilmar Jose Da Silva dan Leandro Dos Santos yang dibawa masuk.

Nama Durakovic semakin harum di kalangan penyokong Perak selepas berjaya membawa anak buahnya ke suku akhir Piala Malaysia buat kali pertama sejak 2011. Malam ini, Perak akan bertandang ke Kuantan untuk bertemu Pahang.

Untuk rekod, kali terakhir Perak memenangi Piala Malaysia ialah 17 tahun lalu dan kali terakhir mereka tampil di final ialah pada musim 2006-07.

Durakovic bukan seorang ahli silap mata tetapi beliau mampu mengubah pasukan hingga bergelar pencabar kejuaraan hasil idea serta falsafah yang dibawanya.

“Tidak ada rahsia tertentu. Pemain dan saya bagaikan satu keluarga. Ketika tiba di Perak, saya tidak kenal sesiapa kecuali bekas pemain Selangor, Shahrom Kalam dan Abdul Hadi Yahya.

“Bagaimanapun, semuanya semakin serasi sedikit demi sedikit. Saya percayakan pemain saya dan mereka berjaya menyerap falsafah permainan yang saya terapkan.

“Pasukan mempamer aksi meyakinkan dan saya tidak boleh mengharapkan lebih daripada itu.

“Perak berada di kedudukan lebih baik berbanding musim lalu di mana pasukan kami sering terperosok di kelompok bawahan liga.”

Mengenai keinginannya untuk menjulang Piala Malaysia bersama Perak, Durakovic berkata, ia pasti seperti mimpi yang menjadi kenyataan.

“Memang seronok jika dapat memenanginya sekali lagi. Tetapi ia bukan mudah dan kami baru di pertengahan saingan.

“Kami perlu menghormati semua pasukan di Piala Malaysia.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2017 @ 6:42 PM