PEMAIN Malaysia, Toh Yi Xiang (kanan) cuba mendapatkan bola daripada pemain Indonesia, Rezza Auditya Putra pada acara polo air pusingan kelayakan. -Foto  AIZUDDIN SAAD
PEMAIN Malaysia, Toh Yi Xiang (kanan) cuba mendapatkan bola daripada pemain Indonesia, Rezza Auditya Putra pada acara polo air pusingan kelayakan. -Foto AIZUDDIN SAAD
Ajitpal Singh


INDONESIA menewaskan Malaysia 4-3 pada perlawanan pembukaan acara polo air lelaki di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Fam Jia Yi menjaringkan dua gol untuk Malaysia manakala satu lagi gol dijaringkan Irshad Syahir.

Jurulatih skuad kebangsaan Voon Yong Hui berkata, anak buahnya tidak bernasib baik berikutan gagal melakukan kejutan kepada Indonesia yang memenangi pingat perak Sukan SEA 2015.

“Pemain cukup bermotivasi dan bermain ikut arahan. Tetapi Indonesia lebih lincah, kami gagal menyempurnakan beberapa peluang yang dimiliki.

“Nasib tidak menyebelahi kami hari ini. Indonesia lebih baik dalam menghadapi situasi sukar sementara kami kadangkala tidak memberikan maklum balas positif.

“Mungkin kerana ia kejohanan utama pertama kami musim ini. Saya harap pemain dapat memperbaiki persembahan dan membina lebih momentum pada perlawanan akan datang,” katanya.

Malaysia akan berhadapan Filipina, esok.

“Kami biasanya tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengatasi Filipina tetapi kami tidak boleh terlalu yakin. Perlawanan esok pastinya tidak mudah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 11:51 AM