FOTO Arkib NSTP
FOTO Arkib NSTP
Izlaily Nurul Ain Hussein


KERAJAAN Negeri Johor dan seluruh rakyat negeri Johor merafak sembah ucapan takziah kepada Kerabat DiRaja Kedah atas kemangkatan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, hari ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu kenyataan media menyifatkan kemangkatan baginda Sultan Kedah adalah kehilangan yang amat besar bukan hanya kepada rakyat negeri itu tetapi seluruh rakyat Malaysia.

"Kemangkatan baginda adalah kehilangan yang amat besar bukan hanya kepada negeri Kedah, tetapi bagi seluruh rakyat Malaysia kerana kita semua sudah kehilangan seorang raja yang berjiwa rakyat," katanya.

Beliau berkata, Almarhum Sultan Abdul Halim banyak berjasa sepanjang tempoh pemerintahannya sebagai Sultan Kedah dan juga selaku Yang di-Pertuan Agong Malaysia kelima dan ke-14.

"Almarhum adalah satu-satunya raja Melayu sehingga kini yang pernah menjawat jawatan Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali dan memainkan peranan besar dalam pelbagai lembaran sejarah negara," katanya.

Mohamed Khaled turut mendoakan semoga roh Almarhum Sultan Abdul Halim dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama orang yang dikasihiNya.

Sultan Abdul Halim Mu'Adzam Shah, 89, mangkat di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah, hari ini pada 2.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2017 @ 9:31 PM