JOHNSON (kiri), Matsuyama (kanan). Foto Agensi
JOHNSON (kiri), Matsuyama (kanan). Foto Agensi
AFP

NEW YORK: Pemain nombor satu dunia Dustin Johnson dan bintang Jepun, Hideki Matsuyama akan mengetuai pasukan Amerika Syarikat dan Antarabangsa pada pertandingan Piala Presiden hujung bulan ini.

Selepas tamat Kejohanan Dell Technologies semalam, 10 pemain automatik bagi kedua-dua pasukan disahkan bagi pertandingan bercorak seperti Piala Ryder yang akan diadakan di Liberty National di New Jersey dari 28 September hingga 1 Oktober depan.

Kapten AS, Steve Stricker dan kapten Antarabangsa, Nick Price akan mengumumkan dua pemain pilihan kapten bagi melengkapkan skuad 12 pemain lelaki, hari ini.

Cabaran AS akan diketuai Johnson, dengan Jordan Spieth, Rickie Fowler, Justin Thomas dan Brooks Koepka semuanya mampu menjadi pendokong utama.

Daniel Berger, Kevin Kisner, Patrick Reed, Matt Kuchar dan Kevin Chappell melengkapkan senarai 10 pemain yang disahkan dalam pasukan AS.

Lima pemain AS melakukan penampilan sulung mereka pada Piala Presiden tahun ini - Thomas, Berger, Koepka, Kisner dan Chappell.

Matsuyama pula mengetuai pasukan Antarabangsa yang menyaksikan penampilan pemain dari Jepun, Australia, Afrika Selatan, Korea Selatan, Venezuela dan Kanada.

Jason Day mengetuai kontinjen Australia selain Adam Scott dan Marc Leishman.

Afrika Selatan diwakili Louis Oosthuizen, Charl Schwartzel dan Branden Grace, manakala Kim Si Woo mengibar cabaran Korea Selatan.

Jhonattan Vegas (Venezuela) dan pemain Kanada, Adam Hadwin melengkapkan senarai awal itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 12:12 PM