TRUMP (kiri) menyampaikan trofi kepada Stricker. FOTO/AFP
TRUMP (kiri) menyampaikan trofi kepada Stricker. FOTO/AFP
AFP

JERSEY, AS: Amerika Syarikat menang 19-11 ke atas pasukan Antarabangsa awal pagi tadi untuk menjuarai Piala Presiden ketika nasib pasukan lawan ditentukan berikutan persembahan buruk dalam tiga hari pertama.

Kemenangan sudah berada dalam genggaman apabila Daniel Berger mendahului 3-up dengan berbaki tiga lubang menentang pemain Korea Selatan, Kim Si Woo - memastikan sekurang-kurangnya setengah mata susulan setengah mata diraih Kevin Chappell menentang Marc Leishman pada perlawanan pertama.

Ketika Berger melengkapkan kemenangan 2 & 1 ke atas Si Woo, kemenangan buat pemain Australia, Jason Day dan pemain Jepun, Hideki Matsuyama sudah tidak bermakna dan pasti Presiden AS Donald Trump akan menyampaikan trofi kepada tuan rumah.

“Satu perasaan menakjubkan,” kata Berger, yang dimaklumkan oleh kapten Steve Stricker di lubang ke-16 bahawa AS sudah memastikan kejuaraan.

“Inilah kekuasaan pasukan AS,” kata kapten Antarabangsa, Nick Price. “Mereka pasukan unggul yang bermain amat luar biasa. Ia sukar untuk disaksikan apatah lagi bagi pasukan yang tewas.”

AS tampil pada hari terakhir tanpa tekanan apabila membenam Antarabangsa dalam 18 perlawanan foursomes dan fourball - membenarkan lawan hanya dua kemenangan dalam tiga hari pertama.

AS mendahului dengan 11 mata semalaman dan memerlukan hanya satu mata pada hari terakhir untuk merangkul kejuaraan Piala Presiden buat kali ketujuh berturut-turut.

“Mereka hadir ke sini dengan banyak momentum dan keyakinan tinggi,” kata Stricker mengenai pemainnya, yang termasuk pemenang tiga kejuaraan utama terakhir. “Ia hanya mengenai bagaimana untuk mendapatkan yang terbaik daripada mereka.”

Pasukan Antarabangsa, yang menang kejuaraan tunggal pada 1998 dan seri pada 2003, berharap untuk mengatasi pencapaian kekalahan tipis di Korea Selatan dua tahun lalu.

Namun akhirnya kepuasan mereka hanyalah kerana menafikan usaha AS muncul pasukan pertama menang setiap sesi.

Antarabangsa menang enam perlawanan perseorangan dan seri tiga, awal pagi tadi.

KEPUTUSAN AKHIR

AS 19 ANTARABANGSA 11

Perseorangan

AS 4.5 Antarabangsa 7.5

Kevin Chappell (USA) mln Marc Leishman (AUS) seri

Jason Day (AUS) mn Charley Hoffman (USA) 2 & 1

Hideki Matsuyama (JPN) mn Justin Thomas (USA) 3 & 1

Daniel Berger (USA) mn Kim Si Woo (KOR) 2 & 1

Charl Schwartzel (RSA) mn Matt Kuchar (USA) 1-up

Louis Oosthuizen (RSA) mn Patrick Reed (USA) 1-up

Dustin Johnson (USA) mln Branden Grace (RSA) seri

Adam Scott (AUS) mn Brooks Koepka (USA) 3 & 2

Jhonattan Vegas (VEN) mn Jordan Spieth (USA) 2 & 1

Kevin Kisner (USA) mln Anirban Lahiri (IND) seri

Phil Mickelson (USA) mn Adam Hadwin (CAN) 2 & 1

Rickie Fowler (USA) mn Emiliano Grillo (ARG) 6 & 4

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 1:39 PM