KIM Swee (dua dari kiri) memberi arahan kepada pemain ketika sesi latihan  di Pusat Latihan Sime Darby, Bukit Jelutong, Shah Alam.
KIM Swee (dua dari kiri) memberi arahan kepada pemain ketika sesi latihan di Pusat Latihan Sime Darby, Bukit Jelutong, Shah Alam.
Aziman Rosdi


MALAYSIA kini mengintai pentas final selepas gagal menjejakinya sejak merangkul kejuaraan di Sukan SEA Jakarta 2011.

Dengan prestasi memuncak empat kemenangan berturut-turut untuk muncul juara Kumpulan A serta sokongan padu ‘pemain ke-12’ yang dijangka membanjiri Stadium Shah Alam esok, seakan tiada alasan untuk skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee gagal melepasi halangan separuh akhir berdepan musuh ketat, Indonesia.

Pengendali berusia 46 tahun itu percaya anak buahnya sudah cukup bersedia untuk berdepan Indonesia yang dilihat mempamerkan peningkatan selepas tewas 0-3 kepada skuad negara pada kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok, bulan lalu.

“Kedua-dua pasukan berada di tahap yang baik. Indonesia dalam kumpulan yang sukar tapi berjaya mara ke separuh akhir, jadi kami perlu bersedia,” katanya dalam sidang media pra perlawanan, hari ini.

Anak buah Kim Swee mempunyai tempoh rehat lebih sehari berbanding Indonesia yang hanya menamatkan kempen kumpulan dengan menewaskan Kemboja 2-0 di Stadium Shah Alam, semalam.

Bagaimanapun beliau tidak menganggap ia satu kelebihan meskipun mengakui tiada masalah untuk menurunkan barisan terbaik tanpa masalah kecederaan dan penggantungan pemain.

“Setiap pasukan sudah mengetahui jadual perlawanan kejohanan ini lebih awal dan setiap jurulatih sudah mempunyai perancangan tersendiri. Pada Sukan SEA sebelum ini juga, kita pernah berdepan situasi seperti itu,” katanya.

Kim Swee yang membimbing pasukan di Sukan SEA buat kali keempat menasihatkan agar tiada kekecohan dicetuskan penyokong dalam perlawanan itu nanti.

“Kita harus ketepikan isu lain, saya harap perlawanan itu nanti tidak dipengaruhi sebarang impak negatif,” katanya.

Malaysia mara ke separuh akhir selepas menewaskan Brunei dan Singapura 2-1 sebelum menundukkan naib juara kumpulan Myanmar dan Laos 3-1.

Berdasarkan rekod pertemuan Sukan SEA, skuad negara menang tujuh dan kalah tujuh serta seri sekali dengan Indonesia.

Malaysia tewas pada pertembungan terakhir di Myanmar 2013 menerusi sepakan penalti 3-4 selepas terikat 1-1 dalam aksi separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 4:01 PM