KIM Swee (dua dari kanan) bersalaman dengan penolong jurulatih Indonesia, Bima Sakti sambil diperhatikan kapten Malaysia, Mohd Adib Zainudin (kanan) dan kapten Indonesia, Hansamu Yama ketika sidang media menjelang perlawanan separuh akhir bola sepak Sukan SEA KL2017. -Foto HAIRUL ANUAR RAHIM
KIM Swee (dua dari kanan) bersalaman dengan penolong jurulatih Indonesia, Bima Sakti sambil diperhatikan kapten Malaysia, Mohd Adib Zainudin (kanan) dan kapten Indonesia, Hansamu Yama ketika sidang media menjelang perlawanan separuh akhir bola sepak Sukan SEA KL2017. -Foto HAIRUL ANUAR RAHIM
Aziman Rosdi


JURULATIH skuad bawah 22 tahun (B-22) negara Datuk Ong Kim Swee berharap tiada sebarang kekecohan dicetuskan kedua-dua penyokong Malaysia dan Indonesia dalam aksi separuh akhir di Stadium Shah Alam, esok.

Katanya, apa saja isu yang berlaku di luar padang harus diketepikan biarpun beliau menjangkakan aksi sengit dalam pertembungan dengan musuh tradisi itu.

“Kita harus ketepikan isu lain, saya harap perlawanan itu nanti tidak dipengaruhi sebarang impak negatif. Yang penting kedua-dua pasukan dapat memberikan permainan terbaik.

“Semua penyokong perlu menjaga tingkah laku yang baik bagi mengelak sebarang masalah,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Petaling Jaya, hari ini.

Malaysia di landasan terbaik untuk memburu tempat ke final dan akan membuat perhitungan dengan Indonesia selepas muncul juara Kumpulan A hasil empat kemenangan berturut-turut.

Kim Swee berkata, pemainnya yang bebas daripada kecederaan dan penggantungan sudah cukup bersedia untuk berdepan lawan yang mereka tewaskan 3-0 pada aksi kelayakan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok, bulan lalu.

Sementara itu, penolong jurulatih Indonesia Bima Sakti turut menasihatkan penyokong mereka supaya tidak melakukan sebarang provokasi yang boleh mencetuskan kekecohan.

“Kita sudah berjaya ke separuh akhir, jadi penyokong juga bersemangat tapi kita kena jaga persaudaraan kerana kita berjuang atas sukan bola sepak bukan sebab lain. Pada saya, Malaysia pasukan yang bagus dan mereka ada peluang untuk menjadi juara,” katanya.

Sebelum ini, rakyat Indonesia tidak berpuas hati dengan kesilapan bendera negara itu dicetak terbalik dalam buku cenderamata untuk majlis perasmian namun isu itu sudah diselesaikan dengan baik antara kedua-dua negara.

Stadium Shah Alam dijangka dibanjiri penyokong dengan pihak penganjur memperuntukkan 60,000 tiket untuk penyokong tuan rumah dan 10,000 tiket bagi penyokong Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 1:02 PM