Jafri Muhammad Firdaus Chew bersedia hadapi mana mana tiga pasukan pada separuh akhir. FOTO ASYRAF HAMZAH
Jafri Muhammad Firdaus Chew bersedia hadapi mana mana tiga pasukan pada separuh akhir. FOTO ASYRAF HAMZAH
Aziman Rosdi


KEBANGKITAN dipamer Jafri Firdaus Chew dilihat tepat pada masanya ketika pengendali skuad bawah 22 tahun (B-22) negara Datuk Ong Kim Swee amat menagih bisa pemain penyerang tengah itu.

Dengan S Kumaahran mengalami kecederaan buku lali, Jafri kini dilihat taruhan terbaik untuk bergandingan bersama Safawi Rasid dan N Thanabalan di bahagian serangan bagi aksi getir separuh akhir, Sabtu ini selepas dia meledak dua gol untuk membenam Laos 3-1 pada aksi terakhir Kumpulan A, semalam.

Menurut pemain Pulau Pinang itu, dia mahu merebut kembali tempat dalam kesebelasan utama selepas diketepikan kerana prestasi kurang baik ketika mengalahkan Brunei 2-1.

“Syukur, Alhamdulilah, sebab dapat menjaringkan dua gol, memang hari ini (semalam) saya mahu berusaha dapatkan semula tempat saya.

“Memang saya kecewa ketika menentang Brunei, prestasi saya bukan di tahap sebenar. Alhamdulillah saya dapat tunjukkan hari ini (malam tadi),” katanya.

Malaysia meneruskan misi pemburuan pingat emas apabila mara ke separuh akhir selaku juara Kumpulan A di depan Myanmar dengan merekod empat kemenangan berturut-turut selepas mengalahkan Laos.

Jafri, 20, hanya masuk sebagai pemain gantian namun berjaya melakukan bantuan gol untuk jaringan ketiga Thanabalan ketika menentang Myanmar, Isnin lalu.

Dia percaya semua pemain negara sudah cukup bersedia untuk berdepan mana-mana pasukan di separuh akhir.

“Tak kisah jumpa pasukan mana sekali pun, kami akan buat yang terbaik dan buktikan kami yang terbaik. Semua pemain sudah bersedia untuk perlawanan separuh akhir, Insya-Allah kita ke final,” katanya.

Malaysia bakal bertemu pasukan naib juara Kumpulan B pada separuh akhir yang bakal ditentukan Vietnam, Thailand dan Indonesia, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 2:53 PM