N. Thanabalan (dua dari kiri) meraikan gol kedua pada perlawanan menentang Singapura di Stadium Shah Alam, semalam.
N. Thanabalan (dua dari kiri) meraikan gol kedua pada perlawanan menentang Singapura di Stadium Shah Alam, semalam.
Aziman Rosdi


PENJARING gol kemenangan Malaysia ketika mengalahkan Singapura malam tadi, N Thanabalan, mahu skuad bawah 22 tahun (B-22) negara menggenggam tiket ke separuh akhir lebih awal dengan menewaskan pasukan pilihan Myanmar dalam perlawanan ketiga Kumpulan A, Isnin ini.

Menurutnya, mereka tidak perlu memilih jalan sukar dengan menunggu sehingga aksi terakhir dengan Laos pada 23 Ogos untuk memastikan tempat ke separuh akhir, malah kemenangan ke atas Myanmar juga bakal mencerahkan peluang muncul juara kumpulan.

“Misi kita belum habis lagi, baru dua perlawanan dan masih ada lagi dua perlawanan peringkat kumpulan. Kita kena kerja keras untuk layak ke separuh akhir.

“Kalau kita menang dengan Myanmar, kita akan menjadi juara kumpulan untuk bertemu pasukan naib juara dalam Kumpulan B.

“Namun kita tak boleh leka, kita tidak boleh ketinggalan seperti malam tadi, Myanmar pasukan kuat,” katanya yang ditemui selepas perlawanan dengan Singapura di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Thanabalan, 22, yang masuk pada separuh masa kedua, mencuri tumpuan selepas menyumbat gol kemenangan Malaysia pada minit ke-73.

Pemain FELCRA FC itu direhatkan pada perlawanan pertama namun dia membuktikan Kim Swee membuat keputusan tepat dengan menyenaraikan namanya dalam skuad Sukan SEA kali ini, meskipun ditimpa kecederaan lutut kanan sebelum saingan bermula.

“Kecederaan saya sudah OK, harap perlawanan seterusnya saya boleh bermain dalam kesebelasan utama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 6:06 PM