HARRIF (tengah) memenangi emas dalam acara kriterium lelaki Sukan Sea KL2017. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
HARRIF (tengah) memenangi emas dalam acara kriterium lelaki Sukan Sea KL2017. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
Azlan Muhammad Zain dan Farah Azharie


PELUMBA lebuh raya Mohd Harrif Saleh mengenepikan seketika kesakitan untuk mempertahankan emas bagi Malaysia dalam acara kriterium lelaki pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Dataran Putrajaya, hari ini.

Dia berjaya muncul pelumba pertama melintasi garisan penamat selepas mengatasi cabaran sengit Thanawut Sanikwathi dari Thailand yang merangkul perak manakala rakan sepasukan dan abangnya Mohd Zamri Saleh meraih gangsa.

“Ini satu kejayaan yang cukup manis kerana saya mengalami masalah keretakan tulang di bahagian belakang sebelum ini. Malah saya mengharungi perlumbaan dalam keadaan tidak 100 peratus susulan kecederaan itu.

“Saya gembira mampu mempertahankan emas yang dimenangi dua tahun lalu. Segala usaha dan penat lelah dalam mempersiapkan diri dan pasukan akhirnya membuahkan hasil dengan kejayaan di tempat sendiri,” katanya.

Peluang Harrif pada awal bulan ini dilihat samar untuk beraksi di Sukan SEA selepas terjatuh semasa mewakili pasukannya, Terengganu Cycling Team (TSG) di Tour of Korea, Jun lalu.

Bagaimanapun dengan rawatan rapi di Institut Sukan Negara, dia kembali menjalani latihan dan ke Melbourne bagi mengikuti kem fasa akhir.

Pada saingan di Dataran Putrajaya sejauh 45 kilometer yang membabitkan sembilan pusingan, Harrif mencatatkan masa 59 minit 35 saat.

Skuad berbasikal negara yang turut merangkumi trek dan BMX meletakkan sasaran untuk memenangi 13 emas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 2:47 PM