Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Jaguh lebuh raya negara Harrif Saleh (gambar) mengakui perlu bekerja keras untuk memastikan pingat emas Sukan SEA mampu dipertahankan.

Jelas pelumba Terengganu Cycling Team itu, menurut pemerhatiannya pada Tour of Thailand yang sedang berlangsung, ada peningkatan dipamerkan beberapa pelumba rantau Asia Tenggara.

“Saya akui perlu berwaspada dan bekerja keras bagi memastikan emas Sukan SEA tidak terlepas di bumi sendiri. Saya tidak boleh memandang remeh cabaran peserta lain selepas melihat persembahan mereka di Tour of Thailand.

“Saya perlu akui ada peningkatan dipamerkan pelumba Thailand dan Vietnam. Mereka antara pelumba yang dijangka memberikan cabaran kepada saya pada Ogos ini,” katanya.

Perlumbaan peringkat kedua Tour of Thailand semalam dimenangi Thanawut Sanikwathi diikuti pelumba Vietnam Nguyen Thanh Tam manakala Jon Aberasturi Izaga dari Sepanyol meraih tangga ketiga.

Pada Sukan SEA 2015 di Singapura, Harrif memenangi dua emas menerusi acara lepas beramai-ramai dan kriterium dan dia sekali lagi disandarkan harapan untuk mengulanginya bagi membantu kontinjen negara bergelar juara keseluruhan.

Harrif kini mewakili skuad kebangsaan menyertai Tour of Thailand yang memasuki peringkat kedua semalam namun kemenangan masih belum memihak dirinya selepas mengalami kerosakan basikal (peringkat pertama) dan kekejangan otot.

“Mungkin masih belum ada rezeki, saya berada pada kedudukan terbaik untuk melakukan pecutan ketika perlumbaan berbaki 50 meter namun berlaku kekejangan otot. Saya akur menamatkan saingan di kedudukan kelapan hari ini (semalam),” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2017 @ 10:56 AM