Pemain Malaysia Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin (dua dari kiri) bersaing dengan pemain Myanmar Aung Aung (kiri). - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
Pemain Malaysia Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin (dua dari kiri) bersaing dengan pemain Myanmar Aung Aung (kiri). - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
Firdaus Hashim dan Syafiq Aznan


SKUAD futsal lelaki beroleh momentum terbaik apabila membuka kempen Sukan SEA 2017 dengan kemenangan dramatik 5-4 ke atas Myanmar di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, malam ini.

Ia sekali gus menyaksikan anak buah Chiew Chun Yong meneruskan rentak cemerlang kem futsal negara selepas skuad futsal wanita meraih kemenangan 2-1 ke atas lawan sama pada sebelah petang.

Bagaimanapun, barisan pertahanan yang kurang ampuh menimbulkan persoalan terutama selepas Malaysia mensia-siakan kelebihan satu gol dan ketinggalan dua jaringan sebelum menemui rentak dan berjaya bangkit dengan meledak tiga gol dalam tempoh 10 minit terakhir perlawanan.

Pada aksi terbabit, skrip yang berlaku kepada skuad futsal wanita berulang kepada skuad futsal lelaki apabila dibolosi seawal minit kedua menerusi penyudah mudah kapten pasukan Myanmar, Aung Aung yang menampan masuk bola di hadapan pintu gol Malaysia ketika anak buah Chun Yong masih lagi tercari cari rentak permainan.

Bagaimanapun, Malaysia tidak perlu menunggu lama mencari gol penyamaan apabila hantaran leret Mohd Azwann Ismail disudahkan Muhamad Azri Rahman pada minit keenam sebelum Akmarulnizam Mohd Idris meletakkan skuad futsal negara di hadapan dengan gol kedua dua minit berselang.

Myanmar memanfaatkan sepakan sudut apabila hantaran lambung Nyein Min Soe disambut Ko Ko Lwin yang melakukan rembatan padu menewaskan penjaga gol Malaysia, Mohd Firdaus Razali sekaligus mengikat kedudukan 2-2 selepas 13 minit perlawanan.

Babak kedua bersambung, Myanmar mengejutkan Malaysia meledak dua gol menerusi Pyae Phyo Maung pada minit ke-24 sebelum Phyo Maung meledak gol keempat enam minit berselang untuk Myanmar terus selesa berkelebihan dua gol.

Namun, Malaysia kembali garang pada 10 minit terakhir perlawanan yang menyaksikan Khairul Effendy Mohd Bahrin mengurangkan defisit pada minit ke-31 dan Muhammad Azri mengikat kedudukan tiga minit berselang dan Syed Aizad Daniel Syed Nasir melengkapkan kebangkitan Malaysia dengan gol kemenangan ketika perlawanan berbaki lima minit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 10:21 PM