KHAIRUL Effendy (kiri) cuba melepasi kawalan pemain Thailand. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
KHAIRUL Effendy (kiri) cuba melepasi kawalan pemain Thailand. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Ferzalfie Fauzi


Hanoi: Hasrat skuad futsal lelaki negara untuk membalas dendam kekalahan dalam saingan peringkat kumpulan kejuaraan Futsal AFF bulan lalu tidak kesampaian apabila mereka tumpas 2-6 kepada Thailand pada perlawanan sulung di Stadium Tertutup Ha Nam, sebentar tadi.

Thailand yang juga pemenang pingat emas edisi 2017 tidak menunggu lama untuk berada di depan seawal minit pertama menerusi jaringan Ronnachai Jungwongsuk.

Juara Futsal AFF 2022 itu menambah jaringan menerusi Peerapat Kaewwilai pada minit keenam, sebelum Muhammad Osamanmusa meledak gol ketiga, dua minit kemudian. Kaewwilai dan Jungwongsuk kemudian menambah dua lagi jaringan buat Thailand pada minit ke-16 dan 19 untuk pasukannya selesa mendahului 5-0 pada babak pertama.

Malaysia cuba bangkit pada babak kedua dan anak buah Chiew Chun Yong terpaksa menunggu sehingga minit ke-35 untuk memecah kebuntuan jaringan menerusi Ekmal Shahrin.

Tidak sampai seminit kemudian, ketua pasukan negara, Khairul Effendy Bahrin menambah motivasi buat pasukan negara apabila meledak gol kedua.

Kebangkitan yang cuba dilakukan Malaysia itu bagaimanapun dihalang Kaewwilai apabila dia meledak gol keenam Thailand pada minit ke-38.

Malaysia seterusnya dijadual bertemu tuan rumah, Vietnam, Sabtu ini sebelum menentang Indonesia (16 Mei) dan Myanmar (20 Mei) dengan saingan dijalankan secara format liga sepusingan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 5:05 PM