PEMAIN Malaysia Mohd Khairul Effendy (kanan) diasak pemain Indonesia Shauqi Saud (tengah) pada aksi futsal lelaki Sukan SEA KL2017 di Stadium Panasonic Shah Alam. -Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
PEMAIN Malaysia Mohd Khairul Effendy (kanan) diasak pemain Indonesia Shauqi Saud (tengah) pada aksi futsal lelaki Sukan SEA KL2017 di Stadium Panasonic Shah Alam. -Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
Mohamad Zulfaizan Mansor


JURULATIH skuad futsal lelaki negara, Chiew Chun Yong menegaskan Malaysia akan bermain mati-matian pada perlawanan terakhir berdepan Thailand, Ahad ini, untuk merangkul pingat emas acara itu.

Malaysia yang kini menggungguli carta selepas mengumpul tujuh mata, wajib menang ke atas Thailand untuk pingat emas.

Sambil mengakui tidak menjangka pasukannya mampu menang besar 5-0 ke atas Indonesia malam tadi, Chun Yong berkata peluang untuk meraih emas kini sepenuhnya terletak di bahu pemain.

“Sejujurnya saya tidak jangka kami menang dengan jaringan cukup besar ke atas Indonesia kerana mereka berjaya mengejutkan Thailand sebelum ini.

“Kami terpaksa menggunakan strategi berbeza pada babak pertama dan kedua untuk mengatasi Indonesia yang mempamerkan permainan pantas.

“Sudah pasti kami akan bermain habis-habisan untuk memenangi pingat emas dan ia terserah kepada pemain,” katanya selepas perlawanan dengan Indonesia di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, malam ini.

Pada perlawanan itu, Mohd Ridzwan Bakri beraksi cemerlang apabila meledak dua gol buat Malaysia pada minit ke-12 dan 29.

Aksi cemerlang skuad negara diteruskan dengan dua jaringan pantas Azri Rahman dan Awalluddin Mat Nawi pada minit ke-31 dan 32 sebelum Khairul Effendy mengesahkan kemenangan bergaya Malaysia dengan gol kelima pada penghujung perlawanan.

Sementara itu, jurulatih Indonesia Yori Van Der Torren menjelaskan anak buahnya perlu melupakan kekalahan itu dan memberi fokus 100 peratus berdepan Vietnam, Jumaat ini.

“Kami melakukan persiapan singkat selain dibarisi pemain muda. Ia berbeza dengan Malaysia memiliki pasukan lengkap,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 10:19 PM