MOHD Nasir Ali (kiri) memberi kata-kata semangat kepada pemain-pemain bola keranjang negara ketika meninjau persiapan menjelang Sukan Sea Kemboja di Wisma Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) hari ini. FOTO Bernama
MOHD Nasir Ali (kiri) memberi kata-kata semangat kepada pemain-pemain bola keranjang negara ketika meninjau persiapan menjelang Sukan Sea Kemboja di Wisma Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) hari ini. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan bola keranjang negara akan tampil lebih menyakinkan di temasya Sukan Sea Kemboja apabila kemungkinan akan menggunakan khidmat pemain naturalisasi dalam usaha membawa pulang pingat untuk negara.

Walaupun perkara itu belum lagi dimuktamadkan namun berdasarkan kepada beberapa negara lain seperti Filipina menyaksikan mereka menggunakan khidmat pemain naturalisasi untuk membantu meraih kejayaan positif.

Menurut Ketua Kontinjen negara (CDM) ke Sukan Sea 2023, Datuk Mohd Nasir Ali, perkara itu adalah antara usaha Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) untuk memperkuatkan pasukan negara apabila beraksi di Sukan Sea Kemboja bermula 5 Mei hingga 17 Mei ini.

"Ada usaha oleh MABA untuk memasukkan pemain naturalisasi, namun ia masih dalam perbincangan MABA.

"Kita tengok Filipina banyak pemain naturalisasi. Ada pemain dari Amerika Syarikat. Kalau nak diikutkan jika ada satu dua pemain naturalisasi ia akan membantu pasukan untuk bertambah baik," katanya.

Sebelum ini MABA dikatakan mahu masuk dua pemain berasal dari Amerika Syarikat bagi memperkasakan skuad bola keranjang kebangsaan.

Presiden MABA, Datuk Seri Lee Tian Hock berkata pihaknya sudah mengenal pasti beberapa pemain untuk diserapkan dalam pasukan lelaki dan wanita kebangsaan sebagai pemain naturalisasi.

Katanya, antaranya termasuk dua pemain dari Amerika Syarikat itu adalah Tevin Charles Glass dan Amir Darrion Williams dengan kedua-duanya memiliki ketinggian 207 sentimeter dan 212 sentimeter.

Untuk rekod, skuad bola keranjang wanita kebangsaan sekadar membawa pulang satu pingat gangsa pada temasya dwitahunan itu di Hanoi, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2023 @ 1:11 PM