KIM Swee (dua kanan) perlu daftar 20 pemain terbaik Sabtu ini.
KIM Swee (dua kanan) perlu daftar 20 pemain terbaik Sabtu ini.
Aziman Rosdi


Shah Alam: Jurulatih skuad bawah 22 tahun negara (B-22) Datuk Ong Kim Swee berdepan tugas sukar untuk membuat menyediakan senarai akhir 20 pemain yang bakal menggalas misi memburu pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Pengendali kelahiran Melaka itu berkata, sehingga kini beliau masih belum mempunyai bayangan pemain kerana persaingan antara 28 anak buahnya untuk merebut tempat agak sengit.

“Ini keputusan sukar tapi saya kena memilih pemain yang terbaik dan saya kena lihat daripada banyak aspek tentang pemilihan nanti.

“Saya kena lihat aspek kecederaan, kecergasan pemain dan posisi-posisi tertentu. Saya masih belum ada bayangan, saya ada tiga sesi lagi sebelum saya menentukan 20 pemain yang akan didaftarkan Sabtu nanti,” katanya kepada pemberita pada sesi latihan semalam.

Sebelum ini, Kim Swee memanggil 27 pemain bagi sesi latihan pusat bermula Ahad lalu namun pemain tengah Perak, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri memulakan latihan semalam selepas pulih daripada kecederaan.

Saingan merebut tempat semakin sengit apabila enam pemain yang tidak bersama pasukan pada saingan kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok bulan lalu kerana tidak mendapat pelepasan kini turut sama berlatih.

Mereka adalah Matthew Davies, Nor Azam Azih (Pahang), S Kumaahran, Syamer Kutty Abba (Pulau Pinang), Haziq Nadzli dan Safawi Rasid (Johor Darul Ta’zim).

“Tiada perbezaan, semua pemain menunjukkan kesungguhan. Bukan hanya enam pemain yang tidak bersama dengan kita sebelum ini. Mereka menunjukkan kerjasama dan ini memberi pulangan yang baik untuk pasukan,” katanya.

Malaysia akan memulakan kempen Kumpulan A menentang Brunei di Stadium Shah Alam, Isnin ini sebelum bertemu Singapura, Myanmar dan Laos.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 10:55 AM