PEMAIN T-Team Md Hassan Basri (kiri) diasak pemain Pahang Sumareh Mohamadou  pada perlawanan peringkat Kumpulan Piala Malaysia.
PEMAIN T-Team Md Hassan Basri (kiri) diasak pemain Pahang Sumareh Mohamadou pada perlawanan peringkat Kumpulan Piala Malaysia.
Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Biarpun sedikit tempang tanpa kehadiran dua tonggak import Maiga Abdoulaye Youssouf dan Mamadou Samassa, jurulatih T-Team Rahmad Darmawan tetap tenang melayani kunjungan pendahulu Liga Super Johor Darul Ta’zim (Johor DT) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini.

Malah jurulatih kelahiran Indonesia itu menyatakan pemainnya tidak pernah gentar dengan reputasi skuad Harimau Selatan itu sebaliknya sudah bersedia untuk melemaskan pasukan itu.

“Ketiadaan Maiga kerana digantung satu perlawanan dan Samassa yang sah tidak dapat beraksi dalam baki musim ini kerana kecederaan ligamen kami begitu dirasai kerana kedua-dua pemain ini tonggak bahagian pertahanan dan tengah,” katanya.

Menurutnya, selain itu T-Team juga bakal kehilangan seorang lagi pemain import Joseph Yannick Ndjeng jika doktor mengesahkan penyerang Cameroon itu perlu berehat kerana kecederaan dan kurang cergas.

“Namun begitu pemain kami tidak pernah gentar untuk berdepan dengan Johor DT kerana dalam sukan bola sepak apapun boleh berlaku.

“Sebagai tuan rumah sudah pasti kami juga menyasarkan kemenangan walaupun tidak mudah untuk menang,” kata Rahmad.

T-Team tewas 3-0 dalam aksi pusingan pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, 25 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2017 @ 4:23 AM